Makram Daboub memberitahu Palestin kendaliannya untuk melakar sejarah mara ke peringkat kalah mati Piala Asia buat pertama kali selepas mengikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-1.
Aksi mendebarkan di Qatar berlangsung ketika Israel terus rakus membunuh rakyat Palestin, dengan beberapa pemainnya kehilangan ahli keluarga atau terperangkap di Gaza dan terpaksa berlatih di luar negara.
Sebelum sepak mula, lebih 40,000 penonton di Stadium Al-Janoub bertafakur sejenak sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan warga Palestin.
UAE membuka jaringan di pertengahan babak pertama menerusi tandukan Sultan Adil.Palestin berpeluang menyamakan jaringan apabila diberikan sepakan penalti dan pertahanan UAE, Khalifa Al-Hammadi dibuang padang, namun sepakan Tamer Seyam diselamatkan Khalid Eisa.
Palestin akhirnya menyamakan kedudukan lima minit selepas rehat apabila pertahanan UAE, Bader Nasser tertanduk bola ke gawang sendiri.
Anak buah Daboub berpeluang meraih kemenangan pertama mereka di Piala Asia, tetapi ketangkasan Eisa menafikan deretan percubaan tepat Palestin.
Daboub tetap yakin Palestin mampu mara ke pusingan 16 terakhir apabila mereka bertemu Hong Kong dalam aksi terakhir Kumpulan C pada Selasa.
“Perlawanan menentang Hong Kong pasti akan melakar sejarah, bukan hanya kepada pemain-pemain dan peminat, tetapi untuk semua rakyat Palestin,” kata Daboub yang memulakan kempen dengan kekalahan 4-1 di tangan Iran.
Pengendali UAE, Paulo Bento dibuang padang di akhir permainan selepas mengutip kad kuning kedua.
sumber:- BH
Pasukannya menewaskan Hong Kong 3-1 pada aksi pembukaan dan akan bertemu Iran pada perlawanan terakhir. – AFP