sukan

Pemain yang mampu ranapkan impian Malaysia

Ketika berdepan Jordan dalam perlawanan pertama Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Selasa lalu, skuad Harimau Malaya dikecewakan dengan kehebatan Mousa Tamari dan Mahmoud Al Mardi.

Kini, bertandang ke di Stadium Jassim bin Hamad bagi aksi kedua, Sabtu ini, pertahanan skuad negara juga memiliki tugas penting untuk mengawasi beberapa pemain Bahrain yang dianggap boleh menjadi ancaman utama buat Harimau Malaya.

Pemain tengah kelab Riffa SC, Komail Al Aswad dilihat sebagai tonggak utama yang diharapkan Bahrain untuk merobek gawang lawan yang mana dia diberikan peranan sebagai penyerang ketika menentang Korea Selatan, Isnin lalu.

Bekas atlet gimnastik itu beraksi penuh ketika berdepan Bahrain tewas 1-3 kepada Korea Selatan dengan dia berjaya melakukan 31 hantaran dan merekodkan 91.2 peratus ketepatan hantaran.

Berusia 29 tahun, Komail memiliki pengalaman di pentas Piala Asia apabila dia menjadi antara pemain utama Bahrain yang melangkah ke pusingan 16 terakhir pada edisi 2019 sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad mengakui beberapa pemain Bahrain berada dalam perhatian barisan benteng skuad negara dan harus diberikan kawalan ketat pada aksi Sabtu ini.

sumber:- BH

Meskipun tidak mendedahkan secara spesifik pemain mana, nama Komail pasti termasuk dalam senarai yang dimaksudkan Shahrul.