Taktikal menyerang dan bermain secara terbuka hingga menyebabkan skuad Harimau Malaya tumbang di tangan Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E Piala Asia tidak dikesali Kim Pan-gon.
Jelas pengendali berasal dari Korea Selatan itu, beliau boleh sahaja menggunakan corak bertahan atau ‘parking bas’ ketika berdepan Jordan yang menghuni ranking ke-87 dunia itu.
Namun baginya pendekatan berkenaan tidak akan membantu membangunkan pasukan yang sebenarnya sudah mula menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu dengan mengamalkan corak permainan berintensiti tinggi.
Lantas, Pan-gon kemungkinan dijangka tetap mengekalkan gaya permainan sama apabila turun dalam misi hidup mati menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad, Sabtu ini bagi menghidupkan peluang melepasi peringkat kumpulan ini.
“Kita boleh bermain negatif (ketika aksi dengan Jordan)…kita boleh bermain lebih bertahan dengan tidak memberi tekanan di atas, sebaliknya menunggu di bawah.
“Tapi ia tidak membantu masa depan pasukan. Jadi kami kekalkan apa yang sudah pasukan lakukan sejak dua tahun lalu, dan itu yg kami kekalkan.
“Bagi saya ia (kekalahan kepada Jordan) pengajaran berguna buat kami, di mana ia bagus untuk persediaan mengharungi Kelayakan Piala Dunia nanti.
“Dan perlawanan kedua menentang Bahrain dan kemudian Korea Selatan. Ia pengajaran berguna dan kita akan perbaiki kelemahan yang ada untuk aksi kedua nanti,” kata Pan-gon yang percaya anak buahnya akan bangkit.
Terdahulu, misi memburu mata bagi memulakan kempen Piala Asia dengan langkah kanan musnah selepas tumbang 0-4 kepada Jordan sekali gus Malaysia terperosok di tangga tercorot Kumpulan E.
Pasukan negara wajib menang pada aksi kedua bertemu Bahrain yang sebelum itu turut tewas 3-0 di tangan Korea Selatan dalam kumpulan sama.
Kedua-dua pasukan pastinya mahukan kemenangan termasuk skuad Harimau Malaya yang kemudiannya bakal berdepan ujian lebih getir menentang skuad Taegeuk Warriors yang diketuai Son Heung-min pada aksi terakhir kumpulan nanti.
Ujar Pan-gon lagi, beliau mahu pemainnya beraksi seperti separuh masa kedua dengan Jordan itu di mana pasukan tampil lebih kemas berbanding babak pertama.
“Aksi separuh masa kedua walaupun kita melepaskan satu gol, tapi bagi saya ia persembahan lebih baik dan itulah cara kita bermain.
“Babak pertama Jordan memulakan dengan sempurna, tapi selepas itu kita kembali kepada prestasi asal.
sumber: HM
“Bagi saya permainan separuh masa kedua itulah yang kita mahu lihat dan nantikan. Kita akan baiki kesilapan dan tampil lebih kemas di perlawanan seterusnya,” katanya.