sukan

‘Bukan salah dia’ — Shahrul Saad

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Shahrul Saad menyifatkan ketua jurulatih, Kim Pan Gon tidak harus dipersalahkan sepenuhnya susulan kekalahan 0-4 Harimau Malaya kepada Jordan dalam aksi Piala Asia 2023, kelmarin.

Sebaliknya, pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan kekalahan dalam aksi pertama Kumpulan E di Stadium Al Janoub itu harus dipikul keseluruhan skuad Harimau Malaya.

“Dia (Pan Gon) minta maaf. Sebenarnya bukan salah dia, kita kalah satu pasukan. Jadi kita kena terima keadaan ini dan saya masih lagi percaya kita mampu ubah keadaan ini untuk lawan Bahrain.

“Tak ada jalan lain yang kita ada, memang kemenangan sasaran utama kami. Pan Gon jurulatih berpengalaman dan dia tahu cara bagaimana untuk pasukan bermain.

“Bukan kata kita tak main bagus, tetapi pasukan Jordan lebih peka dan mereka berjaya gunakan peluang,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak menganggap taktikal tidak menjadi yang direncanakan Pan Gon sebagai antara punca skuad negara tumpas dengan jaringan besar kepada Jordan.

Selain itu, Shahrul Saad yang lebih dikenali sebagai Badak turut menafikan tanggapan bahawa terdapat pemain Harimau Malaya beraksi sambil lewa ketika berdepan Jordan.

“Saya tak rasa benda itu (pemain beraksi sambil lewa) betul. Kita kena tahu pasukan bersaing di Piala Asia adalah antara yang terbaik di Asia dan semua pasukan mampu beraksi lebih daripada apa yang mereka mampu,” katanya.

sumber:- BH

Mengulas mengenai pertembungan dengan Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Sabtu ini, Badak menegaskan bahawa Harimau Malaya akan memberikan segala-galanya untuk meraih keputusan positif dan kekal dalam persaingan ke pusingan seterusnya.