sukan

Yazan Al Arab harap FAM tarik balik

Bekas pemain import Selangor, Yazan Al Arab berharap dapat diberi peluang kedua untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.

Pemain kebangsaan Jordan itu seakan memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menarik balik hukuman penggantungan seumur hidup yang dikenakan ke atas dirinya sebelum ini.

Malah, dia tidak menyimpan dendam terhadap Malaysia, sebaliknya berharap skuad negara dapat bangkit dalam saingan Piala Asia di Qatar selepas tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E, pagi tadi.

“Ia tiga bulan yang sukar dalam hidup saya selepas penggantungan (dari FAM) kerana saya terlepas lima penampilan bersama skuad kebangsaan Jordan. Saya tidak beraksi sebarang perlawanan dan ia amat sukar untuk saya.

“Jika saya diberi peluang lagi, ia akan menjadi sesuatu yang bagus kerana saya suka Malaysia dan penyokong mereka, terutama peminat Selangor.

“Saya tahu tindakan saya salah. Selepas saya melihat semula video (mengasari pengadil), saya katakan itu bukan saya,” katanya ketika ditemui selepas aksi Malaysia dan Jordan di Stadium Al Janoub.

Sebelum ini, FAM menggantung Yazan seumur hidup daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia susulan tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, 24 September lalu.

Selain itu, Yazan turut memberi sokongan kepada Harimau Malaya dan berharap skuad kendalian Kim Pan Gon dapat meraih keputusan positif dalam dua baki perlawanan Kumpulan E berdepan Bahrain dan Korea Selatan.

sumber:- BBH

“Saya tahu Korea Selatan dalam kumpulan ini sangat kuat, namun saya benar-benar berharap Malaysia dapat memperoleh keputusan positif dan layak ke pusingan kedua,” katanya.