Tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim menegaskan bahawa sekarang bukan masa untuk menyalahkan sesiapa susulan kekalahan 0-4 Harimau Malaya kepada pasukan ranking ke-87 dunia, Jordan, pagi tadi.
Faisal atau lebih mesra disapa Mickey menjelaskan dia sendiri tidak menjangka Harimau Malaya boleh tewas dengan jumlah jaringan besar dalam aksi pertama Kumpulan E di Stadium Al Janoub itu.
Pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun berkata, kekalahan kepada Jordan tidak akan menjatuhkan semangat barisan pemain untuk memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan kedua Kumpulan E menentang Bahrain, Sabtu ini.
“Ini bukan keputusan yang kami inginkan, kami sebagai pemain pun tak jangka benda ini berlaku. Selama tiga minggu kami berlatih buat persediaan dan sebenarnya peluang itu ada untuk pasukan.
“Namun, pada malam ini (awal pagi tadi waktu Malaysia), situasi lain yang berlaku yang mana kami dibolosi dua gol awal. Ini bukan masa untuk menyalahkan kesilapan sesiapa, ini masa untuk kami perbaiki kekurangan.
“Jurulatih Kim (Pan Gon) sudah buat sehabis baik untuk pasukan. Kita masih ada lagi dua perlawanan, peluang untuk kita melangkah (ke pusingan 16 terakhir) itu memang sukar tetapi dalam bola sepak kita usaha dulu, buat yang terbaik,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan tercorot Kumpulan E manakala Jordan yang menghuni tangga teratas berkongsi tiga mata bersama Korea Selatan yang menewaskan Bahrain 3-1.
Selain itu, Faisal turut mengakui kegugupan menjadi antara perkara yang dihadapinya hingga tidak berjaya memberi impak lebih besar buat Harimau Malaya ketika berdepan Jordan.
“Apabila dekat Piala Asia ini tahap yang lebih tinggi, sudah tentu pemain semua dengan kegugupan masing-masing dan banyak lagi perkara yang kami perlu belajar.
sumber:- BH
“Berada di peringkat tinggi ini kami sebagai pemain terima apa sahaja keputusan. Kita bukan lawan pasukan yang selalu kita lawan, kita lawan pasukan yang jauh di tahap lebih baik dari kita,” katanya.