Iran menewaskan Palestin 4-1 pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Asia awal pagi tadi di Stadium Education City yang mana solidariti antara peminat dan pemain Iran pantas disusuli dengan persembahan bertaraf dunia daripada juara tiga kali itu.
Gol sumbangan Karim Ansarifard, Shoja Khalilzadeh, Mehdi Ghayedi dan Sardar Azmoun memberikan Iran tiga mata manakala Tamer Seyam menyumbat gol saguhati buat Palestin, yang masih tercari-cari kemenangan pertama mereka pada Piala Asia.
Sorakan bergemuruh menyambut skuad Palestin sebelum lagu kebangsaan mereka dimainkan ketika penyokong Iran menunjukkan solidariti dengan rakan Timur Tengah mereka, dengan beberapa orang memegang bendera Iran bersebelahan dengan bendera Palestin.
Bertafakur selama seminit juga diadakan sebelum perlawanan memperingati mereka yang terkorban dalam konflik Israel-Palestin yang berlarutan selama 100 hari dan membunuh hampir 24,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
“Saya berterima kasih kepada peminat yang berada di stadium, penyokong Iran, penyokong Qatar, penyokong Arab, setiap orang yang menyokong Palestin,” kata jurulatih Palestin, Makram Daboub kepada wartawan.
“Banyak sokongan diterima buat Palestin, kami berterima kasih kepada mereka dan harapnya sokongan berterusan pada perlawanan berikut.”
Namun sebaik pengadil meniupkan wisel, Iran pantas mengorak langkah dan membuka tirai jaringan selepas hanya 64 saat apabila Saman Ghoddos melorongkan bola kepada Ansarifard, yang melencongkan bola melepasi jangkauan penjaga gol.
Iran menggandakan pendahuluan dengan Ghoddos sekali lagi menjadi pengumpan, hantaran lintangnya menemui Khalilzadeh yang bijak meletakkan bola ke dalam gawang untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-12.
Secara teknikal dan taktikal Iran terlalu unggul berbanding Palestin, yang sukar untuk beberapa kali keluar dari kawasan mereka sendiri dan mereka melepaskan gol ketiga sebelum rehat apabila Ghayedi menemui jaring susulan gerakan mengagumkan.
Palestin tidak menguji penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand hingga ke minit terakhir masa kecederaan babak pertama apabila akhirnya mereka memecah kebuntuan dengan Seyam menanduk masuk dari jarak dekat.
sumber:- BH
Namun Iran menamatkan sebarang harapan lawan untuk bangkit selepas rehat apabila pemain gantian Azmoun menjadikan kedudukan 4-1 dengan VAR mencelah pada lewat permainan untuk mengubah keputusan kad merah terhadap pertahanan Palestin, Mohammed Saleh yang membuat terjahan keras. – REUTERS