sukan

Malaysia perlu bimbang dengan dua mesin gol Jordan

Detik 1.30 pagi esok waktu Malaysia bakal menandakan bermulanya langkah sebenar perjuangan Harimau Malaya di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan turun menentang Jordan di Stadium Al Janoub bagi saingan Kumpulan E dan ia menjadi penampilan semula skuad negara di kejohanan tertinggi Asia itu selepas 2007.

Tampil atas tiket sebagai tuan rumah pada 2007, skuad negara bagaimanapun berdepan situasi mengecewakan apabila gagal mengutip sebarang mata dan menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan C.

Penampilan Harimau Malaya kali ini tampak lebih mengujakan semua pihak apabila skuad negara layak secara merit buat kali pertama ke pusingan akhir selepas tempoh 43 tahun.

Malah, anak buah Pan Gon berada pada prestasi terbaik berdasarkan keputusan positif yang diraih mereka dalam aksi persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebelum ini termasuk berjaya mengatasi pasukan di ranking lebih tinggi.

Berdepan Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia, ia bukan tugas mudah buat Harimau Malaya apatah lagi harapan tinggi diletakkan penyokong untuk mereka meraih keputusan positif pada aksi sulung di Qatar.

Tiba di Qatar sejak dua minggu lalu, skuad negara seharusnya sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di negara itu terutama keadaan cuaca yang sedikit sejuk berbanding Malaysia.

Kini, hanya tinggal perancangan dan keupayaan pemain untuk menterjemahkan apa yang dimahukan Pan Gon sepanjang 90 minit di atas padang bagi memerangkap skuad The Chivalrous Ones.

Ayam tambatan Harimau Malaya seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim diharap dapat menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan itu dengan mereka mungkin menjadi sasaran utama untuk dirantai pemain Jordan.

Malah, mereka juga berkemungkinan besar akan berdepan dengan pemain yang memiliki pengalaman beraksi bersama Selangor di Liga Malaysia, Yazan Al Arab dan Noor Al Rawabdeh.

Barisan pertahanan Harimau Malaya pula dilihat harus berwaspada dengan mesin gol Jordan, Yazan Al Naimat dan Hamza Al Dardour yang bakal menjadi taruhan utama pengendali skuad itu, Hussein Ammouta.

sumber:- BH

Al Naimat meledak enam gol buat skuad Jordan dalam 12 perlawanan yang diharungi mereka sejak Mac tahun lalu sekali gus meletakkan penyerang berusia 24 tahun itu sebagai pilihan utama Ammouta.