sukan

Saya jumpa dengan ‘bos’ Vietnam, dia lagi kecewa

Harimau Malaya berkemungkinan terlepas khidmat perancang tengah, Endrick Dos Santos untuk berdepan Jordan dalam perlawanan pertama Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, Selasa ini.

Pemain naturalisasi negara itu mengalami kecederaan sebelum aksi pemanas badan menentang Syria, 8 Januari lalu dengan dia dilihat menjalani latihan berasingan, semalam.

Selain Dos Santos, seorang lagi pemain tengah, Natxo Insa juga menjalani latihan berasingan daripada skuad Harimau Malaya, namun tonggak berusia 37 tahun itu dikatakan sudah dalam proses untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Apa yang melegakan skuad negara menjelang aksi berdepan Jordan di Stadium Al Janoub adalah tonggak pertahanan, La’Vere Corbin Ong sudah pulih daripada kecederaan dan kembali berlatih bersama skuad Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa kecederaan yang dialami Dos Santos tidak boleh dijadikan alasan untuk Harimau Malaya gagal menampilkan aksi terbaik berdepan Jordan.

“Endrick mengalami kecederaan dalam latihan sebelum menentang Syria. Kecederaan ini kadang-kadang kita tak boleh jangka. Saya berjumpa dengan Presiden Persatuan Bolasepak Vietnam, dia lagi kecewa sembilan pemain utama mereka cedera dan terpaksa memanggil pemain bawah 23 tahun.

“Kita hanya seorang sahaja, Corbin Ong sudah kembali (bersama pasukan) dan Natxo dalam proses untuk kembali menyertai latihan bersama skuad. Jadi semua yang lain berada dalam keadaan bersedia.

sumber:- BH

“Saya berasa ia adalah perkara biasa. Kecederaan kita tak boleh elak, dalam perlawanan atau latihan pun boleh terjadi. Saya fikir, tiada isu untuk memberikan alasan mengenai kecederaan,” katanya.