sukan

Penganjur angkat Corbin Ong

Beraksi di posisi pertahanan tidak semestinya pemain terbabit akan tenggelam atau kurang menjadi tumpuan pada perlawanan besar seperti Piala Asia.

Hal ini kerana tonggak pertahanan negara Corbin Ong mencuri tumpuan selepas dia diangkat sebagai pemain bintang oleh penganjur pada saingan Piala Asia yang membuka tirai kelmarin.

Pertahanan kental yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ditampilkan sebagai pemain bintang bagi skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya dalam video pengenalan pasukan.

Video yang disiarkan di pelbagai platform media sosial rasmi penganjur itu turut menyertakan statistik 22 penampilan serta tiga jaringan gol oleh Corbin bersama Harimau Malaya setakat ini.

Dalam video yang sama, penyerang sayap berusia 21 tahun yang memiliki enam gol, Arif Aiman Hanapi pula ditonjolkan sebagai bintang sedang meningkat naik Harimau Malaya.

Pada masa sama, video berkenaan turut menyatakan fakta mengenai penyertaan Harimau Malaya sebanyak tiga kali dalam saingan Piala Asia iaitu edisi 1976, 1980 dan 2007.

Ketiga-tiga penyertaan itu berakhir setakat peringkat kumpulan disamping melakar satu-satunya kemenangan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu pada edisi 1980.

Tidak dilupakan, peratusan kemenangan sebanyak 72.72 peratus oleh Kim Pan-gon turut disertakan sekali.

Malaysia akan membuka tirai Piala Asia dengan bertemu Jordan Selasa ini di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

sumber:- HM

Namun, dikhabarkan kemungkinan Corbin Ong tidak akan diturunkan pada perlawanan pertama menentang Jordan kerana masih lagi belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan pada aksi final Piala Malaysia.