sukan

Arif, Faisal diakui jelmaan Salah, Mane

Dua pemain sayap negara, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim dianggap sebagai senjata utama Harimau Malaya untuk menumbangkan Jordan pada aksi Piala Asia 2023, awal pagi Selasa ini.

Meskipun bertubuh kecil, dua pemain itu diyakini memiliki kekuatan tersendiri walaupun mungkin terpaksa berdepan pertahanan lawan yang memiliki fizikal lebih besar.

Perkara itu diakui jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim sambil memaklumkan gandingan Arif dan Faisal mengingatkannya kepada gandingan Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Pengendali berusia 72 tahun itu menegaskan skuad negara tidak boleh terlalu hormat kepada Jordan walaupun pasukan itu memiliki kedudukan ranking dunia lebih baik iaitu di tangga 87 dunia berbanding Harimau Malaya 130 dunia.

Dia berkata, jentera serangan Harimau Malaya harus menggunakan peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan jika mahu mengutip mata berdepan skuad The Chivalrous Ones.

“Saya berasa macam West Bromwich lawan Manchester City atau Manchester United. Lawan pasukan besar jangan terlalu hormat mereka.

“Kita tak boleh lepaskan jika ada peluang terbaik untuk jaringkan gol. Pemain kita (di bahagian sayap) kanan dan kiri, Arif Aiman dan Faisal adalah senjata utama walaupun mereka bertubuh kecil. Mereka ini buatkan saya teringat kepada Salah dengan Mane.

“Walaupun bertubuh kecil tetapi mereka ada kelebihan dan saiz fizikal tidak menjadi masalah bagi saya. Mereka adalah aset penting buat Harimau Malaya,” katanya kepada BH Sukan.

Selepas Jordan, anak buah Kim Pan Gon akan meneruskan perjuangan dalam Kumpulan E menentang pasukan ranking 86 dunia, Bahrain pada 20 Januari ini sebelum berdepan pasukan tangga 23 dunia yang juga juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan (25 Januari).

Selain itu, Irfan menjelaskan barisan pemain negara perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan impian besar Harimau Malaya untuk meraih mata penting berdepan Jordan.

Katanya, ia kerana aksi menentang skuad kendalian Hussein Ammouta adalah pertama pertama dan ia penting kerana turut mempengaruhi peluang untuk skuad negara mengintai tempat di pusingan kalah mati.

“Peluang untuk kita layak ke pusingan kalah mati cerah sekiranya dapat mata penuh menentang Jordan. Kita harus kurang membuat kesilapan mudah.

sumber:- BH

“Ini peringkat antarabangsa, kita sudah melalui aksi persahabatan dan kelayakan Piala Dunia dengan pasukan yang di ranking lebih tinggi. Kita seri dengan Syria, dengan China pun kita seri. Maknanya kita sudah pernah lawan pasukan Kelas A,” katanya.