sukan

Hati-hati taktik licik Pak Arab

Barisan pemain Harimau Malaya bukan sahaja perlu berperang secara fizikal apabila berdepan pasukan Jordan dan Bahrain dalam dalam Piala Asia 2023.

Malah, anak buah Kim Pan Gon perlu menetapkan mental mereka pada tahap terbaik kerana pasukan Arab didakwa terkenal dengan provokasi sama ada di dalam atau luar padang.

Perkara itu dikongsikan jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berdasarkan pengalamannya berdepan pasukan ‘Pak Arab’ terutama di peringkat kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Bekas pengendali skuad Harimau Muda itu turut mengakui bahawa fizikal dan kebolehan teknikal menjadi antara kekuatan pemain dari Timur Tengah.

“Mereka kuat dari segi Fizikal, satu lagi kalau kita tengok liga mereka dengan kemasukan pemain bintang bertaraf dunia menjadikan mereka kompetitif.

“Pengalaman saya bawa pasukan di peringkat kejohanan AFC dan sebagainya, kita tengok kebolehan teknikal pemain Arab lebih tinggi sebab liga mereka lebih kompetitif dan mungkin juga program pembangunan mereka berbeza dengan kita.

“Satu lagi, lawan pasukan Arab ini mental kena kuat. Banyak provokasi dan gangguan dalam dan luar padang, itu antara (cabaran) kalau bermain dengan pasukan Arab. Harap pemain jangan layan provokasi dan sebagainya,” katanya kepada BH Sukan.

Selain Jordan dan Bahrain, Harimau Malaya juga akan berdepan cabaran getir daripada juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan yang turut berada dalam Kumpulan E.

Skuad negara akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia), sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Selain itu, Azraai menaruh kepercayaan bahawa tiada yang mustahil untuk skuad negara mencipta kejutan ke atas Jordan dan Bahrain meskipun dua pasukan itu berada di ranking lebih baik.

Katanya, apa yang penting semua pemain harus percaya pada diri selain mengikut perancangan taktikal dan strategi Pan Gon.

“Kenapa tidak boleh (kalahkan Jordan dan Bahrain)? Kalau tengok perlawanan demi perlawanan, kita sudah mampu kalahkan pasukan ranking lebih tinggi. Itu satu petanda positif buat pasukan yang dalam proses meningkat,” katanya.

sumber:- BH

Berdasarkan ranking, Jordan berada di kedudukan ke-87 dunia, Bahrain (86) manakala Korea Selatan yang juga pasukan ketiga teratas Asia di tangga 23 dunia.