sukan

Pan Gon sudah mula pening kepala

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mungkin sudah mula pening kepala untuk mencatur kesebelasan utama pasukannya bagi aksi pertama Kumpulan E, Piala Asia 2023 menentang Jordan pada Selasa ini.

Menurutnya, setiap pemain layak untuk berada dalam kesebelasan utama selepas memperagakan aksi berkualiti ketika mengikat pasukan di kedudukan ke-91 dunia, Syria, 2-2 dalam aksi persahabatan pada Selasa lalu.

Dalam perlawanan itu, Pan-gon memberikan semua pemain minit permainan untuk menilai kemampuan dan corak taktikal yang mahu digunakannya.

“Semua pemain bersaing dengan cukup baik dan saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh mereka. Sesiapa sahaja boleh berada dalam kesebelasan utama.

“Ia adalah kelebihan yang berjaya kami capai dalam perlawanan ini. Seterusnya, staf kejurulatihan akan melihat semula perlawanan ini untuk menilai pemain yang akan beraksi dalam kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Jordan,” katanya.

Dalam pada itu, Pan-gon mengakui pemain mendapat keyakinan selepas aksi persahabatan itu selain lega tiada pemain yang mengalami kecederaan.

“Selepas sebulan tanpa perlawanan dan hanya dengan latihan sahaja, pemain menunjukkan persembahan baik dalam perlawanan persahabatan ini.

sumber:_ SA

“Kami mendapat masa yang cukup untuk melakukan persiapan dan tiada pemain yang cedera menjelang perlawanan pertama nanti,” katanya lagi.