Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menang untuk mencerahkan peluang melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik ketika bertemu Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, awal pagi Selasa ini (waktu Malaysia).
Penjaga gol nombor satu Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berkata, tiga mata bertemu skuad yang diberi julukan ‘The Chivalrous Ones’ itu mustahak serta mampu mengurangkan tahap tekanan sebelum bertemu Bahrain dan juara dua kali, Korea Selatan.
“Perlawanan pertama kena menang, kena kutip mata…kenapa kena menang dengan Jordan, sebab kita kena ambil peluang ini untuk melangkah ke (peringkat) seterusnya, kita tak nak duduk setempat saja,” katanya ketika ditemui media Malaysia di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, motivasi pasukan berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan dengan Jordan, selepas berjaya mengikat Syria 2-2 pada aksi pemanas badan, Selasa lalu.
Beliau berkata, sewaktu bertemu Syria, semua pemain yang diberikan peluang beraksi telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan segala perancangan jurulatih, Kim Pan-gon.
“Semua pemain bagi yang terbaik dan set mental serta diri untuk perlawanan pertama nanti,” kata pemain berusia 28 tahun itu.
Malaysia dijangka tidak mendapat laluan mudah dalam misi memburu kemenangan apabila rekod pertemuan lima aksi terakhir sejak 1988 berpihak kepada Jordan, dengan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan Jordan menang 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 2021.
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa, anak buah Pan-gon berpeluang mencipta kejutan selepas tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir.
Manakala Jordan merakam satu kemenangan dan dua tewas termasuk dibelasah Jepun 1-6 pada aksi pemanas badan di sini, Selasa lalu.
Sebagai rekod, Jordan yang dibimbing pengendali dari Maghribi, Hussein Ammouta berada di ranking dunia ke-87, sementara Malaysia di kedudukan ke-130.
Dalam pada itu, Ahmad Syihan terharu selepas menerima banyak sokongan dan kata-kata semangat daripada bekas penjaga gol skuad kebangsaan, antaranya rakan sepasukan di JDT, Mohd Farizal Marlias dan penjaga gol Selangor FC, Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid.
“Ramai penjaga gol di Malaysia beri semangat kepada kami (tiga penjaga gol) di sini, mereka bagi sokongan dan kongsi pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.
“Sebagai penjaga gol, kita perlu ambil pengalaman orang lain kerana daripadanya kita boleh lebih maju,” katanya.
sumber:- HM
Selain Ahmad Syihan, Pan-gon menyenaraikan dua lagi penjaga gol iaitu Muhammad Azri Ghani dari Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, yang merupakan penjaga gol Selangor FC yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC musim lalu.