sukan

Kejutan Terbuka Malaysia

Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tersingkir dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas tewas secara set langsung kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, di Arena Axiata sebentar tadi.

Rekod pertemuan lalu jelas seimbang dengan kedua-dua beregu masing-masing menang sekali tetapi perlawanan kali ini berlangsung bukan seperti yang diharapkan peminat badminton negara.

Tang Jie dan Ee Wei menerima tentangan sengit lawan sejak dari pukulan pertama dan ketika terikat 21-21 pada penghujung set pertama, mereka membenarkan lawan memperoleh dua mata terakhir.

Kebangkitan yang diharapkan dapat dijelmakan gandingan negara itu dalam babak kedua pula ternyata tidak kesampaian apabila mereka jauh ketinggalan 9-15 sebelum tersingkir dengan kekalahan 14-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama 42 minit.