sukan

Ee Yi-Yew Sin lakar kejutan mara ke suku akhir

Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mencipta kejutan apabila melangkah ke suku akhir PETRONAS Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas Ee Yi-Yew Sin merakam kemenangan ke atas pasangan nombor lima dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi pusingan yang berlangsung penuh mendebarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ee Yi-Yew Sin bermula baik apabila menang set pertama 21-10 tetapi lawan mereka berjaya bangkit untuk merakam kemenangan 21-11 di set kedua sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi set penentuan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling mengejar terutama ketika mata terakhir sebelum Ee Yi-Yew Sin mengesahkan kemenangan dengan keputusan 24-22 dalam tempoh 61 minit.

Kemenangan itu turut mengakhiri badi kekalahan Ee Yi-Yew Sin yang tewas kepada lawan berkenaan dalam dua pertemuan terakhir ketika Kejohanan Dunia dan Terbuka Denmark, tahun lalu.

Menanti Ee Yi-Yew Sin adalah pemenang perlawanan antara pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan beregu Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

sumber:- BH

Sementara itu, perjuangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See pada kejohanan kali ini berakhir selepas tewas di tangan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 14-21, 14-21.