Kebangkitan mengikat Syria 2-2 sememangnya menghadirkan petanda positif buat skuad Harimau Malaya, namun kebimbangan masih menjurus kepada kesediaan barisan pertahanan dan penjaga gol yang ‘bocor’ lagi menjelang Piala Asia 2023.
Sebagai rekod, Malaysia hanya beroleh satu ‘cleansheet’ dalam tujuh perlawanan terakhir iaitu ketika menang 1-0 menentang Taiwan dan sepanjang tempoh itu, skuad negara melepaskan 12 gol termasuk aksi awal pagi tadi.
Kerisauan itu disuarakan bekas jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin selepas anak buah Kim Pan Gon seakan hilang fokus apabila membenarkan pasukan di ranking ke-91 dunia itu merobek gawang gol negara sebanyak dua kali hanya dalam tempoh empat minit.
“Ini satu keputusan yang positif tetapi kita masih dibuai dengan keterujaan apabila menyerang sekali gus lupa dengan bahagian belakang. Kita perlu lebih berhati-hati ketika sedang rancak menyerang.
“Kita boleh lihat Syria menjaringkan dua gol pantas dan aspek pertahanan ini seharusnya diperbaiki. Sudah tentu barisan kejurulatihan sedar akan hakikat ini, jadi pertahanan dan penjaga gol perlu lebih mantap kerana Piala Asia 2023 akan jadi lebih mencabar.
“Tetapi secara keseluruhan, kita lihat skuad negara sudah hampir bersedia dan mereka perlu cepat ‘settle down’. Apapun, keputusan ini sedikit sebanyak pasti meningkatkan moral pemain dalam persediaan untuk menentang Jordan nanti,” kata Sulaiman.
Terdahulu, perlawanan pemanas badan di Stadium Grand Hamad itu menyaksikan Malaysia yang mendahului menerusi jaringan pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi tersentak apabila ketinggalan 1-2 ketika masa sebenar berbaki 16 minit.
Malaysia melepaskan dua gol pantas dalam tempoh empat minit hasil jaringan Pablo Sabbag (m70) dan Ibrahim Hesar (m74) sebelum Paulo Josue menyelamatkan skuad negara dengan jaringan penyamaan pada minit ke-78.
Dalam perkembangan lain, Sulaiman turut mengharapkan penyokong tidak ‘menambah’ tekanan buat pemain negara dan terus memberi sokongan padu seandainya keputusan di Piala Asia 2023 nanti tidak memihak kepada negara.
“Saya harap penyokong tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana pertandingan di peringkat tertinggi seperti ini sememangnya memberikan cabaran yang sangat besar.
“Kita perlu terus memberi sokongan dan tidak bermimpi di siang hari kalau pasukan negara tidak mendapat keputusan yang baik nanti,” katanya.