Tiada ‘taring’ Harimau Malaya yang ‘patah’ apabila pengendali kebangsaan, Kim Pan Gon mengesahkan semua pemain berada dalam keadaan yang terbaik selepas aksi pemanas badan berdepan Syria, awal pagi tadi.
Justeru, Pan Gon menyifatkan situasi ini sebagai satu perkembangan yang positif sekali gus perancangannya untuk menyusun taktikal bagi aksi pertama berdepan Jordan pada 16 Januari dapat berjalan dengan lancar.
Malah, prestasi semua pemain yang menunjukkan persembahan memberangsangkan membuatkan barisan kejurulatihan ‘sukar’ untuk memilih kesebelasan utama yang terbaik untuk aksi pertama Piala Asia 2023 nanti.
“Ada tempoh seminggu lagi, jadi kita akan buat proses pemulihan dan persiapan dari segi taktikal dengan sebaik mungkin untuk aksi pertama nanti. Kita mahukan masa yang cukup untuk membuat persediaan awal.
“Tiada kecederaan dan petanda positif adalah semua pemain bersaing dengan baik, jadi sesiapa sahaja boleh membarisi kesebelasan utama.
“Kita akan menilai dan menganalisis perlawanan ini sebelum barisan kejurulatihan memutuskan senarai kesebelasan utama bagi perlawanan pertama nanti,” kata Pan Gon.
Terdahulu, perlawanan di Stadium Grand Hamad, Doha itu menyaksikan skuad kebangsaan terlebih dahulu di depan menerusi jaringan pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39.
Namun Syria meledak dua gol pantas dalam tempoh empat minit menerusi Pablo Sabbag (m70) dan Ibrahim Hesar (m74) sebelum Paulo Josue menyelamatkan skuad negara dengan jaringan penyamaan pada minit ke-78.
Dalam perkembangan sama, pengendali dari Korea Selatan itu tetap berpuas hati selepas aksi berdepan pasukan di ranking ke-91 itu sedikit sebanyak membantu persiapan skuad negara ke Piala Asia 2023.
“Ini perlawanan pertama skuad kebangsaan selepas berlatih hampir sebulan, jadi ini satu perkara yang baik. Kita perlu yakinkan barisan kejurulatihan bahawa program ini menuju ke landasan yang tepat.
sumber:- BH
“Perlawanan ini menambahkan lagi keyakinan dan ‘match fitness’ sekali gus memberikan manfaat yang baik untuk persiapan kita di sini,” katanya.