sukan

Syria beri ‘Hint’ kekuatan Harimau Malaya

Aksi pemanas badan menentang Syria boleh menjadi ujian penting buat skuad Harimau Malaya sebelum turun ‘berperang’ pada Piala Asia 2023 yang akan membuka tirainya, kurang dua minggu lagi.

Menentang pasukan di ranking ke-91 dunia itu memberi peluang terbaik untuk skuad kebangsaan menguji kemampuan mereka menentang pasukan dari Asia Barat memandangkan Harimau Malaya akan bertemu dua pasukan dari zon sama dalam Kumpulan E nanti.

Aksi malam ini mungkin memberi sedikit petanda kepada anak buah Kim Pan Gon mengenai kemampuan sebenar mereka dan adakah mereka sudah cukup bersedia mengharungi temasya terbesar di benua Asia itu.

Skuad negara sebelum ini mengejutkan Syria pada aksi persahabatan di Chengdu, September lalu apabila bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas ketinggalan 0-2.

Meskipun Syria berada pada ranking agak jauh berbanding Jordan (87) dan Bahrain (86) namun setidak-tidaknya pasukan ini dapat memberi gambaran awal terhadap apa yang boleh dijangka dan menunggu pemain kebangsaan pada aksi peringkat kumpulan nanti.

Ini kerana dua negara ‘Pak Arab’ itu menjadi pasukan yang seharusnya disasarkan untuk mengutip mata oleh skuad kebangsaan, apatah lagi mengambil kira mereka menjadi dua lawan pertama mereka di Qatar.

Malaysia mungkin berada lebih 50 anak tangga di belakang Jordan dan Bahrain namun sasaran lebih realistik untuk memungut mata daripada dua pasukan ini berbanding ketika berdepan pasukan nombor tiga Asia, Korea Selatan pada aksi terakhir.

Justeru, aksi persahabatan secara tertutup ini sangat mustahak buat Pan Gon dan juga barisan pemain memandangkan ini sahaja medan untuk mereka membuat ‘eksperimen’ sekiranya diperlukan sebelum mengharungi aksi sebenar nanti.

Positifnya, aksi ini berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan tiada mata ranking yang ‘didagangkan’, justeru keputusan perlawanan tidak memberi kesan kepada kedudukan ranking negara.

sumber:- BH

Berkemungkinan muka baharu yang dipanggil kali ini seperti Natxo Insa, Syamer Kutty dan ‘Harimau Import’ baharu, Romel Morales bakal diturunkan untuk mendapatkan minit perlawanan antarabangsa.