Saiz ‘pak Arab’ tidak gentarkan Malaysia

Kelebihan fizikal yang dimiliki tiga pasukan ‘Pak Arab’ iaitu Syria, Jordan dan Bahrain sama sekali tidak menggentarkan barisan pemain Harimau Malaya.

Skuad kebangsaan akan beraksi menentang Syria dalam satu aksi persahabatan secara tertutup, malam esok sebelum berdepan Jordan dan Bahrain dalam dua aksi pertama peringkat kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar, kurang dua minggu lagi.

Pertahanan negara, Syahmi Safari mengakui kelebihan fizikal sememangnya berpihak kepada pasukan lawan namun itu tidak bermakna rakan sepasukannya akan ‘tunduk’ apatah lagi sudah memiliki pengalaman berdepan pasukan dari Asia Barat itu.

“Kita banyak kali berdepan pasukan seperti ini, contohnya melawan Bahrain pada aksi kelayakan sebelum ini dan rasanya kita boleh bersaing dengan mereka.

“Saya lihat jurang kita tidak begitu besar dengan mereka. Apa yang penting adalah semangat dan komitmen lebih 100 peratus selain kerjasama antara satu sama lain untuk mendapatkan keputusan positif,” kata Syahmi.

Dalam perkembangan sama, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyatakan sesi latihan yang berlangsung di Qatar ketika ini sudahpun memasuki ‘gear’ seterusnya namun pemain dapat menyesuaikan diri dengan sesi latihan yang jelas lebih mencabar.

sumber:- BH

“Sesi latihan semakin berintensiti tinggi supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan situasi pada perlawanan sebenar nanti. Pemain dapat memberi komitmen 100 peratus dan ini mustahak untuk semua pemain juga.”Kita perlu tingkatkan momentum dalam pasukan,” katanya.