sukan

Kita seri dengan Korea Selatan

Cabaran yang bakal dihadapi Harimau Malaya dalam Piala Asia 2023 dianggap berbeza dengan apa yang diharungi skuad negara ketika kejohanan sama di Kuwait pada 1980.

Datuk Jamal Nasir Ismail yang berada dalam skuad negara ketika 1980 menjelaskan cabaran bakal dihadapi skuad kendalian Kim Pan Gon di Qatar nanti lebih hebat berbanding zamannya kerana pasukan negara lain kini sudah banyak meningkat.

Beliau berkata, Harimau Malaya memerlukan persembahan terbaik untuk menyaingi pasukan lain dalam Kumpulan E yang jelas berada di ranking lebih baik terutama gergasi Asia, Korea Selatan.

“Kalau dulu dari segi permainan atau kejohanan biasa sahaja. Kita seri (1-1) dengan Korea Selatan, cuma kalah kepada Kuwait. Namun, sekarang selepas 43 tahun, sudah pasti banyak perbezaan.

“Kita nak mengatakan pasukan (Harimau Malaya) sekarang ini lebih kuat dari dulu saya tak pasti, tetapi mereka perlu kuat sebab pasukan negara lain juga sudah jauh meningkat, termasuk pasukan dari Arab.

“Korea Selatan sekarang ini berada di ranking ke-23 dunia dan kita pula ranking 130, bayangkan lebih 100 anak tangga berbeza. Bahrain (86) dan Jordan (87) juga berada di ranking lebih tinggi, jadi cabaran skuad negara di Piala Asia 2023 lebih hebat.

“Bagaimanapun tiada yang mustahil skuad negara boleh kalahkan mereka, kecuali Korea Selatan yang mungkin susah. Kita hanya perlukan kejutan dan tak semestinya pasukan ‘underdog’ tak boleh menang,” katanya kepada BH Sukan.

Sementara itu, bekas pemain tengah Malaysia yang turut berada dalam skuad 1980, Datuk Shukor Salleh juga mengakui kejohanan Piala Asia ketika ini lebih mencabar buat skuad negara.

Beliau berkata, pasukan Harimau Malaya ketika ini turut sudah berubah yang mana ramai pemain naturalisasi dan berdarah kacukan menjadi sandaran buat skuad negara meraih keputusan positif.

Katanya, dia berharap barisan pemain tengah dapat memperagakan aksi terbaik terutama apabila terpaksa berdepan pasukan yang memiliki kualiti lebih baik.

“Ketika dulu kami memang bermain untuk nama negara dan ia menjadi tunjang dalam menaikkan semangat. Saya sendiri bermain di bahagian tengah bukan mudah kerana ia posisi penting dalam bola sepak.

“Bahagian tengah ini adalah penggerak kepada pasukan ketika menyerang dan bertahan. Jadi, pemain tengah yang ada dalam skuad negara ketika ini harus mempamerkan persembahan pada tahap terbaik,” katanya.

Berdasarkan rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya layak bertanding di Piala Asia menerusi pusingan kelayakan adalah pada 1980 yang berlangsung di Kuwait.

Pada waktu itu, 10 pasukan layak bertanding di pusingan akhir di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kempen skuad negara bermula baik apabila mengikat Korea Selatan 1-1 sebelum tumbang 1-3 kepada Kuwait namun bangkit menewaskan UAE 2-0 dan terikat 1-1 dengan Qatar.

sumber:- BH

Selain Jamal dan Shukor, skuad negara turut dibarisi Datuk Soh Chin Aun, Yahaya Jusoh, Peter Rajah, Ong Yu Tiang, Bakri Ibni dan ramai lagi.