Kelantan United FC (KUFC) memaklumkan isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu sejak Ogos lalu sudah diselesaikan dengan situasi menang-menang antara pihak pengurusan kelab, pegawai, kejurulatihan dan barisan pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif KUFC, Wan Zul Ikmal Wan Abdul Aziz berkata pihaknya sebelum ini mengeluarkan satu memo berhubung jadual pembayaran gaji dan dipersetujui oleh semua.
“Kami (KUFC) sentiasa komited melangsaikan segala tunggakan apabila memulakan proses bayaran bermula pertengahan Disember 2023 iaitu separuh gaji bulan Ogos sebelum perlawanan terakhir Liga Super.
“Sehari selepas perlawanan itu, kelab melakukan pembayaran gaji untuk bulan September kepada semua pegawai, jurulatih dan pemain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zul Ikmal, menerusi persetujuan awal, pembayaran bagi baki bulan Ogos adalah pada 31 Disember lalu.
“Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, pihak pengurusan kelab mengambil tindakan menghubungi pemain dan pegawai untuk menjelaskan keadaan itu.
“Namun, beberapa pemain serta pegawai yang memerlukan baki tunggakan itu, kami mengkreditkan gaji mereka dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pemain atau pegawai yang belum mendapat baki gaji bulan Ogos, pihaknya akan menyelesaikan pembayaran itu pada 3 Januari ini.
“Tiga bulan baki tunggakan gaji bagi bulan Oktober, November dan Disember pula akan diselesaikan pada 15 Januari dan 31 Januari bagi bayaran semua tunggakan gaji musim 2023.
sumber:- BH
“Jadual pembayaran tunggakan gaji ini turut dimaklumkan kepada Liga Bolasepak Malaysia,” katanya. – BERNAMA