sukan

Kim Pan Gon perlu ‘cakar’ jurulatih kelas dunia

Ketika barisan pemain skuad kebangsaan terpaksa bertarung dengan kualiti pemain bertaraf dunia, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon juga bakal berentap dengan jurulatih ternama di Piala Asia 2023.

Berada dalam Kumpulan E, Pan Gon akan berperang taktikal dengan pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann selain Juan Antonio Pizzi (Bahrain) dan Hussein Ammouta (Jordan).

Berdasarkan empat jurulatih itu, Klinsmann dilihat memilik profil lebih tinggi apabila pernah menjulang Piala Dunia sebagai pemain bersama Jerman pada 1990 selain membantu Amerika Syarikat memenangi Piala Emas CONCACAF 2013 selaku pengurus.

Kini, pengendali berusia 59 tahun itu memikul harapan besar Korea Selatan untuk membawa pulang trofi Piala Asia ke negara itu buat kali ketiga selepas 1956 dan 1960.

Menggantikan Paulo Bento pada Februari tahun lalu, Klinsmann menjadi jurulatih kedua dari Jerman yang mengemudi skuad Taegeuk Warriors selepas Uli Stielike.

Pentas Piala Asia 2023 menjadi penampilan kedua buat Pizzi selepas pernah membimbing Arab Saudi dalam kejohanan tertinggi Asia itu pada edisi 2019 yang mana pasukannya disingkirkan Jepun di pusingan 16 terbaik.

Dia yang baru mengemudi Bahrain selama lima bulan selepas menggantikan Helio Sousa, Julai lalu, pernah membimbing skuad kebangsaan Chile selain beberapa kelab termasuk Valencia.

Ammouta pula menjadi individu yang dipertanggungjawabkan untuk membantu Jordan memperbaiki pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Asia selepas mara ke suku akhir pada 2004 dan 2011.

Pernah membimbing kelab gergasi Qatar, Al Sadd, pengendali dari Maghribi itu dilantik sebagai jurulatih Jordan pada Julai lalu menggantikan Adnan Hamad.

Sementara itu, Pan Gon pula dilantik mengemudi Harimau Malaya pada Januari tahun lalu dan pencapaian terbesar yang diraih adalah membawa skuad negara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit buat kali pertama selepas 1980.

Malah, pengendali dari Korea Selatan itu dilihat berjaya meningkatkan prestasi Harimau Malaya yang kini semakin mendapat perhatian daripada kuasa besar bola sepak terutama di benua Asia.

Apa yang pasti, pentas Piala Asia 2023 di Qatar menjadi ujian terbesar buat Pan Gon dalam merencanakan taktikal terbaik dan membaca ‘muslihat’ jurulatih dari pasukan lain terutama di peringkat kumpulan.

sumber:- BH

Sama seperti dihadapi barisan pemain Harimau Malaya, bekas pengendali Hong Kong itu juga berdepan cabaran getir dengan Malaysia menuju ke kejohanan itu sebagai pasukan ‘underdog’.