sukan

Arsenal kempunan kembali ke puncak Liga

Arsenal terlepas peluang untuk kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas tewas 2-0 kepada West Ham.

Skuad kendalian Mikel Arteta meraikan Krismas sebagai pendahulu liga untuk dua tahun berturut-turut, tetapi tercicir ke tangga kedua – dua mata di belakang Liverpool menjelang Tahun Baru.

Naib juara tahun lalu, Arsenal, menguasai permainan tetapi tidak cukup tajam untuk menembusi benteng pelawat, yang menjaringkan gol menerusi Tomas Soucek dan Konstantinos Mavropanos.

Soucek membuka jaringan pada minit ke-13 selepas mendapat hantaran Jarrod Bowen, tetapi terpaksa menunggu pengesahan VAR yang memeriksa sama ada bola sudah terkeluar daripada permainan.

Arsenal cuba bangkit menerusi percubaan Bukayo Saka pada minit ke-30, tetapi dinafikan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.

Pemain sayap England itu mempunyai satu lagi peluang menjelang rehat, tetapi percubaannya terkena tiang.Bersambung babak kedua, Arsenal menggandakan asakan namun West Ham lebih berkesan dalam serangan mereka apabila menambah jaringan menerusi tandukan padu Mavropanos – hasil sepakan sudut James Ward-Prowse.

sumber:- BH

Kekalahan berkenaan meletakkan Arsenal di tangga kedua pada 40 mata, satu di depan Aston Villa dan tiga mengatasi Manchester City, yang bermain kurang satu perlawanan. – AFP