sukan

Malaysia bukan nak ‘makan angin’

Berbaki kira-kira dua minggu sebelum Piala Asia 2023 bermula, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya membuka mulut menyatakan harapan melihat skuad Harimau Malaya melangkah ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mencipta sejarah membanggakan.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sekiranya Malaysia yang bakal membuat penampilan keempat di Piala Asia berjaya layak ke pusingan 16 terbaik pada saingan di Doha, Qatar dari 12 Jan sehingga 10 Feb depan, ia merupakan pencapaian cukup baik.

Bagaimanapun, Hamidin mengakui Malaysia berdepan cabaran hebat, mengambil kira kedudukan anak buah Kim Pan Gon dalam saingan Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.

“Sudah tentu kita punya harapan kalau dapat masuk pusingan 16 terbaik dah cukup baik, tapi kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa 24 pasukan yang bertanding adalah yang terbaik…jadi dua perlawanan awal cukup mustahak untuk dapatkan mata.

“Kalau dapat layak ke pusingan 16 terbaik satu pencapaian yang bagus, Kim Pan Gon berusaha ke arah itu, begitu juga dengan FAM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lahir Presiden FAM & Majlis Doa Selamat Sempena Piala Asia 2023 dan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Harapan FAM itu selari dengan keinginan Pan Gon yang optimis membawa Malaysia, pasukan ranking dunia ke-130 mara ke pusingan kalah mati di Doha, di sebalik perlu berdepan Jordan (ke-87), Bahrain (ke-86) dan Korea Selatan ke-23 dunia.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik layak ke pusingan 16 terbaik di Qatar, sekali gus Malaysia berpeluang mencipta sejarah selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.

Sementara itu Hamidin yakin barisan pemain yang dipilih Pan Gon kali ini adalah yang terbaik bagi menggalas cabaran getir di Qatar.

“Kalau lihat dari (senarai) pemain, saya rasa ini antara pemain terbaik ketika ini, mungkin ada satu dua (pemain) kita terlepas disebabkan kecederaan,” katanya.

sumber:- HM

Skuad Harimau Malaya yang dijadual berlepas ke Doha pada 1 Jan akan memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Jan sebelum menentang Bahrain (20 Jan) dan membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada 25 Jan.