sukan

Hasrat Pan Gon panggil tiga pemain idaman tak kesampaian

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui hasratnya untuk memanggil tiga pemain menyertai kem latihan pusat di Piala Asia 2023 yang bermula hari ini, tidak kesampaian.

Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, berdasarkan perancangannya dia mahu memanggil Sharul Nazeem Zulpakar, Azam Azmi dan Feroz Baharudin.

“Saya gembira dengan pemilihan pemain kali ini walaupun tidak mendapat dua pemain iaitu Shahrul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad kerana kecederaan.

“Kita juga menjemput Feroz Baharudin tetapi dia ada perancangan untuk berkahwin, jadi tahniah diucapkan kepada Feroz tetapi ini adalah skuad terbaik buat masa ini,” katanya.

Pan Gon berkata demikian ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.

Pan Gon bagaimanapun berharap kehadiran beberapa pemain senior dalam kem kebangsaan kali ini sememangnya mampu membantu pasukan di Qatar.

Menurutnya, beberapa pemain senior seperti Brendan Gan, Junior Eldstal, Paulo Josue dan Natxo Insa dapat membantu untuk memberi tunjuk ajar kepada pemain muda yang turut berada dalam skuad kali ini.

“Kita ada pemain dengan lingkungan usia yang baik dan kita juga memanggil beberapa pemain senior. Ini adalah pasukan yang seimbang daripada segi pertahanan dan juga serangan.

sumber:- BH

“Jadi saya mengharapkan pemain senior dapat menggunakan pengalaman mereka untuk mendidik dan memberi panduan kepada mereka, membuatkan mereka tenang dan lebih yakin dalam persediaan ke Piala Asia nanti,” kata Pan Gon.