sukan

FIFA percaya JDT mampu lakukannya — Legenda

Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu mengambil dua atau tiga lagi langkah ke depan untuk menjadi bertambah baik sekiranya mengimpikan untuk beraksi di Piala Dunia Kelab 2025 di Amerika Syarikat.

Legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman berpandangan skuad Harimau Selatan sememangnya sudah menjadi pasukan yang hebat ketika ini namun mereka harus menjadi lebih mantap bagi memastikan hasrat beraksi di pertandingan terbabit dapat direalisasikan.

Malah, dia optimis JDT mampu memberi saingan sekiranya berjaya ‘lolos’ ke pertandingan terbabit memandangkan pasukan itu sentiasa ‘bernafsu’ untuk beraksi di peringkat tertinggi.

“JDT sentiasa ada kemahuan untuk pergi lebih jauh kerana visi Tunku Mahkota Johor (TMJ). Kit lihat pun mereka dapat memberi saingan di peringkat Asia tetapi JDT tak boleh berhenti setakat ini.

“Jurang dengan pasukan Asia itu sudah tidak jauh, jadi tinggal untuk JDT melangkah dua atau tiga langkah ke depan. Cita-cita itu perlu dikejar dan kalau nak kejar cita-cita, perlu berusaha keras,” kata Rizal.

Sementara itu, potensi JDT untuk beraksi di Piala Dunia Kelab 2025 seperti disenaraikan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dianggap sebagai satu pengiktirafan daripada badan induk itu kepada JDT dan juga bola sepak negara.

Bekas pemain Johor, Hasnizam Uzir menjelaskan situasi itu adalah satu perkembangan positif di mana bola sepak negara khususnya JDT berjaya membuka mata antarabangsa dengan prestasi memberangsangkan di pentas Asia.

“Bagi saya, ini satu perkara yang positif kerana kita lihat pun, JDT dapat mencabar pasukan dari Korea Selatan ataupun Jepun. JDT perlu bersaing dengan pasukan yang lebih baik demi kemajuan bola sepak kita.

“Berdasarkan pengiktirafan ini, secara tidak langsung FIFA percaya JDT mampu melakukannya sekali gus mengangkat jenama bola sepak kita. Kita tidak boleh nafikan kemajuan yang dicapai oleh pasukan itu selama ini.

“Sudah tentu JDT akan terus menambah baik skuad yang mereka ada dengan kehadiran pemain yang bakal dibawa masuk nanti. Tiada masalah kerana kita yakin dengan kualiti pemain tempatan mahupun import mereka.

“Saya lihat JDT akan melakukan persiapan yang lebih rapi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi pada musim akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, JDT yang juga wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 mendapat tonik terbaik selepas berpeluang memburu slot ke Piala Dunia Kelab FIFA 2025.

Menerusi laman FIFA, badan induk itu menyenaraikan skuad Harimau Selatan sebagai antara pasukan berpotensi untuk bersaing di kancah berprestij itu selepas empat slot diberikan untuk pasukan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

sumber:- BH

Berdasarkan laman sosial FIFA, JDT berada di tangga ke-11 dalam kalangan pasukan AFC apabila menghimpun 38 mata namun tidak boleh menambah sebarang mata lagi pada musim ini selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia (ACL).