sukan

Bukan hanya ranking malaysia melonjak

Dibantu lonjakan mendadak ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) tahun ini, harga pasaran semasa keseluruhan skuad Harimau Malaya yang akan beraksi di pusingan akhir Piala Asia di Qatar bulan depan berjumlah 6.7 juta Euro (RM34.5 juta).

Daripada 26 pelatih, bek tengah, Dion Cools yang bermain di Liga Thailand bersama Buriram United menjadi pemain paling mahal dalam skuad kendalian Kim Pan-gon dengan nilai pasaran RM3.8 juta.

Manakala pemain yang berada di kemuncak prestasi terbaiknya ketika ini, Arif Aiman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pula menjadi pemain kedua termahal dengan harga pasaran RM2.8 juta.

Sementara bintang Selangor FC, Faisal Halim dan Matthew Davies (JDT) pula menjadi individu ketiga pemain paling bernilai dalam skuad kebangsaan dengan harga RM2 juta.

Menurut jurulatih berpengalaman negara, Azraai Khor Abdullah, nilai keseluruhan sesebuah pasukan itu harus dilihat dari beberapa aspek kerana ia akan menjadi petanda aras.

“Kita kena lihat juga dari satu sudut, pemain kebangsaan negara itu bermain di liga dan peringkat apa kerana ia sangat penting. Semua aspek ini akan mempengaruhi prestasi sertai kualiti sesebuah pasukan itu.

“Seperti pasukan Korea Selatan, nilai itu memang berbaloi kerana ramai pemain mereka bermain di liga tertinggi dan terbaik di dunia.

“Macam di Malaysia, Dion Cools bermain bersama Buriram United dan Junior Eldstal (Dewa United FC) saja bermain di liga luar dan selebihnya bermain di liga tempatan. Ini semua akan membezakan kekuatan sesebuah pasukan dengan pasukan lain,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Bagaimanapun, di Piala Asia nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E boleh dikatakan pasukan paling rendah nilai pasaran secara keseluruhan jika dibandingkan dengan pasukan lain terutama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

sumber:- HM

Korea Selatan yang dibarisi pemain dari kelab terbaik dunia mengungguli dengan nilai keseluruhan RM967 juta sementara pasukan Jordan dan Bahrain masing-masing bernilai RM60 juta dan RM49 juta.