sukan

Hanya empat Import kekal

Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) dikatakan hanya mengekalkan empat import untuk membawa cabaran pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mereka adalah Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Michael Glassock (Australia) dan Kuvondik Ruzief dari Uzbekistan manakala Rafael Silva (Brazil) dan Sherzod Fayziev (Uzbekistan) tidak lagi bersama skuad Tok Gajah.

Pada November lalu, Sri Pahang mengumumkan dua pemain import mereka, Kevin Ingreso dari Filipina dan Lucas Silva (Brazil) meninggalkan skuad Tok Gajah sebaik kontrak berakhir.

Sumber kelab berkata, setakat ini, empat pemain import yang beraksi bersama Sri Pahang musim ini kekal.”Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada penilaian prestasi yang dilakukan barisan kejurulatihan dalam menentukan kedudukan pemain import.

“Tidak dinafikan pemain import baharu akan menyertai skuad Tok Gajah musim depan tetapi segalanya masih dalam perancangan terutama dalam memperkasakan jentera serangan dan tengah,” kata sumber itu.

Musim ini, Sherman membuktikan ketajaman apabila menjaringkan 14 gol, masing-masing 12 gol dalam saingan Liga Super manakala dua gol di Piala FA.

Faktor kecederaan yang menimpa Lucas dan Rafael turut memberi kesan terutama di bahagian serangan apabila skuad itu hanya bergantung kepada seorang penyerang.

Namun, menamatkan di kedudukan kelima daripada 14 pasukan dalam saingan Liga Super musim ini menunjukkan peningkatan berbanding kedudukan ketujuh daripada 12 pasukan musim lalu.

sumber/:- HM

Tetapi, skuad kendalian Fandi Ahmad perlu lebih padu musim depan, sekali gus bersaing dengan pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.