sukan

Tiga pemain jadi buruan untuk pasukan musim depan

Pertahanan PDRM FC, James Okwuaso antara pemain yang berada dalam radar Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber daripada kem skuad The Cops, ‘kereta kebal’ berketinggian 1.91 kelahiran Nigeria itu antara pemain yang cuba dipancing skuad Penyu bagi memantapkan lagi skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu.

Jelas sumber berkenaan, selain pasukan dari Pantai Timur itu yang mahukan khidmat pertahanan tengah itu, Selangor FC juga turut dikatakan sedang berunding untuk menawarkan kontrak kepada pemain berusia 33 tahun itu.

Katanya corak permainan berkualiti diperagakan pemain itu pada musim ini selain gaji yang diminta tidak begitu tinggi antara faktor dua pasukan itu dikatakan berminat untuk mendapatkan bekas pemain yang pernah beraksi bersama kelab terkemuka Kuwait, Al Shabab, musim lalu.

“Saya dimaklumkan Okwuaso ditawarkan kontrak oleh TFC dan Selangor untuk mengukuhkan benteng pasukan mereka pada musim depan, pihak pengurusan skuad itu kini dalam proses rundingan, namun sama ada pemain itu berminat untuk beraksi di negeri Pantai Timur atau kekal di Lembah Klang menyarung jersi Selangor saya tidak pasti,” ujar sumber itu ketika dihubungi.

Selain pertahanan PDRM itu, antara pemain yang berada dalam radar TFC pada musim depan ialah dua penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Dua pemain itu dikatakan kini sedang dirisik TFC sebagai pemain pinjaman selepas tonggak skuad Harimau Malaya kelahiran Terengganu, Safawi Rasid sah menyarung jersi skuad Penyu pada musim depan secara pinjaman.

sumber:- BH

Dalam pada itu, naib juara Piala Malaysia musim ini dikatakan tidak akan menyambung kontrak pertahanan kelahiran Mersing, Johor, Muhammad Adib Zainuddin yang akan tamat hujung bulan ini.