sukan

Liverpool mara ke Separuh Akhir dengan bergaya

Curtis Jones meledak dua gol ketika Liverpool melakar rekod tampil kali ke-19 ke separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas membelasah West Ham United 5-1 di laman sendiri awal pagi tadi.

Dominik Szoboszlai, Cody Gakpo dan bintang utama Mohamed Salah, yang hanya dimasukkan selepas sejam perlawanan, turut menjaringkan go buat pasukan kendalian Jurgen Klopp yang bermaharajalela dalam 20 minit terakhir.

“Persembahan, jaringan, keputusan dan permainan individu bergabung untuk menjadikan satu pasukan yang cemerlang di tengah padang,” kata Klopp kepada Sky Sports.

“Pemain menikmatinya, mereka bekerja keras untuk menuai hasilnya dengan penuh detik menggembirakan dalam bola sepak. Seronok untuk melihatnya.”

Szoboszlai membuka tirai jaringan pada minit ke-28 dengan rembatan kencang dari jarak 20 meter yang menerjah ke penjuru gol.Jones menggandakan kelebihan Liverpool dengan gol pertamanya beberapa minit selepas babak kedua apabila berganding dengan Darwin Nunez, meluru menyambut hantaran Nunez dengan tendangan voli yang melepasi celah kelangkang penjaga gol Alphonse Areola.

Gakpo meledak dari penjuru kotak penalti sebelum Jarrod Bowen membalas satu gol buat The Hammers pada minit ke-77.

Salah kemudian menyumbat gol pada minit ke-82 sebelum Jones menyempurnakan gol keduanya dua minit kemudian, melepasi benteng West Ham dengan mudah yang menyebabkan pengurus David Moyes kelihatan merah padam.

“Saya mahu menjaringkan gol dan membantu pasukan,” kata Jones. “Tak mengapa bermain baik tetapi anda perlu menjaringkan gol, saya menyumbat dua gol jadi saya terlalu gembira.”

Related Post

West Ham berdepan malam sukar menentang juara Piala Liga sembilan kali itu sebelum wisel ditiup lagi kerana berdepan masalah kecergasan pemain menjelang aksi itu dan hanya menang sekali di Anfield dalam tempoh 60 tahun.

Chelsea, Fulham dan kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough turut layak ke separuh akhir. Chelsea dan Fulham menempah tiket mereka awal pagi semalam selepas menang menerusi penentuan penalti masing-masing ke atas Newcastle United dan Everton.

“Satu perlawanan yang penting untuk meloloskan diri. Kami melakukan yang terbaik dan ia satu perlawanan yang bagus akhirnya,” kata Gakpo.

“Kami mempunyai pasukan yang bagus, kami memiliki pemain yang mengagumkan. Satu-satunya perkara yang perlu kami lakukan adalah kekal fokus dan bersatu serta bekerja keras dan kemudian kualiti akan hadir.”

Separuh akhir pertama akan dilangsungkan pada minggu 8 Januari manakala separuh akhir kedua bermula 22 Januari.

sumber:- BH

Perlawanan akhir pula pada 25 Februari di Stadium Wembley dan peminat di Anfield teruja untuk menyaksikan pasukan mereka layak ke final dengan menyorak “Wembley” ketika minit-minit terakhir awal pagi tadi. – REUTERS