sukan

Saya sangat berterima kasih kepada TMJ –Romel Morales

‘Harimau Import’ baharu skuad negara, Romel Morales percaya dia memiliki kemampuan untuk membantu skuad negara selepas dipanggil menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan ke Piala Asia 2023, bulan depan.

Pemain naturalisasi terbaharu negara itu menjadi empat muka baharu dipanggil jurulatih, Kim Pan Gon untuk kem latihan pusat bermula 26 Disember ini selain Natxo Insa, Syamer Kutty Abba dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Penyerang KL City FC itu juga turut gembira selepas diberi peluang menyertai kem latihan pusat sekali gus bertekad membalas kepercayaan yang diberikan dengan memperagakan aksi yang terbaik.

“Sudah tentu saya gembira mendapat kerakyatan Malaysia dan saya mahu membantu skuad Harimau Malaya. Banyak yang negara ini sudah berikan kepada saya jadi ini adalah peluang untuk saya membalas semula jasa mereka.

“Saya fikir saya tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dan membentuk kombinasi bersama pemain lain. Rakan sepasukan saya iaitu Paulo Josue juga berada dalam skuad kali ini.

Related Post

“Selain itu, saya sangat berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu dalam urusan ini,” kata Romel seperti yang dikongsikan ejennya, Effendi Jagan Abdullah kepada BH Sukan.

Romel ketika ini sedang berada di Colombia namun akan pulang Ahad ini untuk menyertai kem latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Selasa depan.

Dalam perkembangan lain, Effendi mengesahkan tiada lagi sebarang keputusan mengenai masa depan Romel yang ketika ini dikaitkan dengan beberapa pasukan besar dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

sumber:- BH

Sebagai rekod, khabar angin bertiup kencang khususnya di laman media sosial yang mengaitkan pemain itu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).