sukan

Selamat datang ke ‘keluarga besar’ JDT

BEKAS pemain San Lorenzo dalam saingan Liga Primera Argentina, Jalil Elias, 27, sah akan beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024.

Perkara itu didedahkan pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari sambil menambah beberapa pemain lagi akan dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad juara quadruple berganda (double quadruple) itu musim depan.

“Saya ucap tahniah dan mengesahkan Jalil (Elias), kini merupakan pemain baharu kami. Selamat datang ke ‘keluarga besar’ JDT.

“Dia juga telah lulus ujian perubatan dan akan membantu memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan sama ada selaku perancang mahu pun bertahan.

“Bagi saya, kehadirannya akan membantu mengisi tempat Natxo (Insa) dan Leandro (Velazquez) yang sedang dalam proses pemulihan akibat masalah kecederaan,” katanya.

Solari berkata demikian pada sidang akhbar sejurus tamat aksi terakhir Liga Super yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menewaskan Penang FC, 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lalu.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mencatat sejarah tersendiri dengan quadruple berganda (double quadruple) apabila mengulangi kejayaan memenangi empat piala semusim sebagaimana yang dilakukan musim lalu apabila muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Katanya, khidmat pemain seperti Akhyar dan pemain pinjaman dari skuad Bangkok United; Heberty Fernandes amat diperlukan bagi membantu pasukan mencapai keputusan yang positif.

“Pada saya dia (Akhyar), seorang game changer (boleh mengubah perlawanan) dan saya mahukan khidmatnya bersama JDT dan malah, saya juga mahukan Heberty (Fernandes) kerana dia adalah pemain yang baik sentiasa bekerja keras membantu pasukan pada separuh musim ini.

“Bagaimanapun, dalam masa sama saya tidak menafikan khabar-khabar angin yang mengatakan ada pemain-pemain yang akan menyertai pasukan lain…mungkin untuk mendapatkan minit permainan.

“Apa pun, sejujurnya saya juga tegaskan di sini, bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan kerana pemain terbaik seperti Arif Aiman (Hanapi), sendiri perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Sementara itu, Solari turut mendedahkan seramai tiga atau empat pemain baharu bakal menyertai skuad Harimau Selatan itu musim depan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu bergantung kepada pemain yang meninggalkan pasukan kelak.

sumber:- SH

“Perkara ini merupakan satu perancangan kerana kami perlu memperkuatkan pasukan di beberapa posisi terutamanya yang ditinggalkan oleh pemain yang akan meninggalkan pasukan ini nanti,” katanya.