sukan

‘resipi’ Selangor FC kembali mengaum

Keharmonian dalam pasukan dan kerjasama berpasukan disifatkan menjadi ‘resipi’ Selangor FC (SFC) kembali ‘mengaum’ apabila berjaya menamatkan musim 2023 selaku naib Liga Super.

Selepas beberapa musim berada di kelompok pertengahan liga, sentuhan Tan Cheng Hoe memastikan pasukan itu menjadi naib juara musim ini sekali gus layak bersaing di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2024/25.

Jelas Cheng Hoe yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya, dia berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan pasukan bimbingannya yang diperolehi hasil usaha keras semua pemain dalam sesi latihan serta perlawanan.

“Secara keseluruhan, saya lihat pemain import dan tempatan dapat bergabung dengan begitu baik. Pemain begitu bekerja keras dan komited ketika latihan dan juga dalam perlawanan sebenar.

“Hubungan yang baik dalam kalangan pemain juga begitu penting dan pasukan berada dalam keadaan harmoni. Kejayaan ini bukanlah kerana individu tetapi kerja keras dan semangat berpasukan,” kata Cheng Hoe.

Terdahulu, SFC menutup kempen musim ini dengan bergaya apabila menewaskan juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), PDRM FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tiga gol SFC itu dihasilkan menerusi sepakan penalti Faisal Halim, Brendan Gan dan Richmond Boakye sementara gol pelawat disumbangkan Fadi Awad.

Sementara itu, Cheng Hoe turut menyifatkan jangkaan tinggi diletakkan pengurusan dan penyokong ke atas bahunya selaku pengendali menjadi motivasi terbaik dalam membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi.

“Apabila saya mendapat tawaran daripada SFC, saya tahu ia satu cabaran dan tuntutan yang begitu besar bukan setakat daripada pengurusan tetapi juga penyokong yang mahukan SFC berada di tahap terbaik.

sumber:- BH

“Sejak dari kecil, saya memang berminat dengan SFC yang memiliki sejarah pencapaian begitu baik jadi ini juga menjadi motivasi saya untuk membawa pasukan,” katanya.