sukan

Kedah hilang RM 1 Juta

Kekalahan 0-2 Kedah Darul Aman (KDA) FC di tangan Sabah FC pada aksi terakhir Liga Super semalam menyaksikan skuad ‘Kenari’ menutup kempen musim 2023 dengan malang berganda.

Keputusan itu bukan sahaja menyaksikan mereka terlepas tiga mata sehingga memaksa mereka ‘tergelincir’ ke tangga keempat Liga Super malah turut terlepas habuan RM1 juta yang diterima pasukan yang menamatkan saingan musim ini di tangga ketiga.

Habuan RM1 juta itu sebaliknya diterima Sabah FC manakala KDA FC di tangga keempat ‘kerugian’ RM300,000 apabila hanya menerima RM700,000 sebagai agihan merit apabila meraih kedudukan keempat dalam Liga Super musim ini.

Jumlah RM700,000 itu bagaimanapun tidak termasuk agihan rata RM500,000 yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada semua 14 pasukan bertanding pada musim ini.

Bagi musim 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima agihan merit tertinggi iaitu RM1.9 juta selaku juara Liga Super dan menerima jumlah keseluruhan bagi agihan pendapatan sebanyak RM2.4 juta.

Selangor FC (SFC) selaku naib juara menerima agihan merit sebanyak RM1.4 juta dan dengan agihan rata RM500,000, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe membawa pulang sebanyak RM1.9 juta.

Setiap pasukan Liga M tetap mendapat agihan merit masing-masing namun jumlahnya berbeza mengikut kedudukan mereka pada hujung musim ini.

Selain itu, Terengganu FC II (TFCII) turut mendapat habuan RM500,000 selaku juara Piala MFL sementara Johor Darul Ta’zim II (JDTII) selaku naib juara Piala MFL menerima RM250,000.

Sebagai rekod, MFL sebelum ini menyatakan mekanisme pengagihan berdasarkan merit ini dapat mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam liga mempunyai nilai ganjaran.

sumber:- BH

Agihan pendapatan bagi musim ini meningkat 96.55 peratus kepada RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diterima 14 pasukan pada 2022.