sukan

Sah letak jawatan secara rasmi

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dalam kelab berkenaan yang akan berkuatkuasa esok.

Menerusi hantaran di akaun Facebook beliau hari ini, Marzuki bagaimanapun tidak menyatakan alasan berbuat demikian, namun berdasarkan luahannya, tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan soal pengurusan pasukan.

“Bukan mudah untuk mengemudi sebuah kapal apabila nakhoda ditukar di pertengahan pelayaran,” luahnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut memuat naik gambarnya menyerahkan surat peletakan jawatan CEO Sabah kepada Setiausaha Agung Safa, Shamsuddin Mohd Sah di pejabat persatuan berkenaan, hari ini.

Marzuki bagaimanapun berkata beliau akan tetap menyokong Sabah dan mahu melihat pasukan itu menjadi sebuah kuasa besar bola sepak suatu hari nanti.

“Selaku penggiat bola sepak, saya akan terus memberi sokongan padu kepada pasukan yang dicintai ini.

“Semoga pasukan ini akan terus maju jaya dan mampu menjadi kuasa besar bola sepak di rantau ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas kepercayaan yang di berikan kepadanya keprihatinan terhadap sukan bola sepak di Sabah.

“Terima kasih Safa, MFL, FAM, penaja-penaja, rakan-rakan media, semua peminat Sabah dan yang paling utama buat barisan kejurulatihan, pemain dan staf Sabah yang telah bersama-sama saya selama hampir tiga tahun untuk mengangkat bola sepak Sabah sehingga ke peringkat Asia.

“Ayuh kita turun beramai-ramai malam ini di Stadium Likas bagi perlawanan terakhir liga untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita dan juga mengucapkan selamat bersara daripada penampilan bola sepak profesional buat legenda negara, Amri Yahyah.

“Akhir kata, jutaan terima kasih sekali lagi atas dukungan yang diberikan tatkala pasang surut pasukan ini. Banyak kenangan manis dan pengalaman indah ketika bersama dengan pasukan ini,” katanya.

Ahmad Marzuki dilantik sebagai CEO Sabah FC pada Disember tahun lalu, menggantikan Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai siapa CEO baharu Sabah FC, Presiden Safa, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

“Itu biarlah, nanti kita putuskan. Kita fokus kepada perlawanan malam ini dulu (perlawanan akhir Liga Super 2023, Sabah menentang Kedah) ,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pemain Sabah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau sudah mengarahkan agar isu yang dihadapi Sabah diselesaikan dengan segera dan berharap agar ia diurus dengan lebih teratur khususnya yang menyentuh aspek kewangan.

sumber:- HM

“Saya juga berharap agar kelab meneroka usaha mengkomersilkan jenama Sabah supaya kelab ini dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya.