sukan

Tindakan Roberto Mancini bukti Malaysia digeruni

Peningkatan mendadak yang dipamerkan skuad bola sepak kebangsaan sejak kebelakangan ini meletakkan Harimau Malaya mula dipandang pasukan lain termasuk kuasa besar di rantau Asia.

Keadaan itu mencetuskan andaian bahawa skuad kendalian Kim Pan Gon dianggap sebagai pasukan yang tidak boleh dipandang mudah oleh pasukan lain di pusingan akhir Piala Asia 2023, bulan hadapan.

Salah satu gergasi Asia, Arab Saudi juga dilihat enggan mengambil risiko untuk berdepan Harimau Malaya dalam aksi pemanas badan yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari depan.

Keputusan itu dibuat atas permintaan jurulatih baharu Arab Saudi, Roberto Mancini yang membuat perkiraan bahawa terdapat kemungkinan pasukannya akan berdepan Malaysia di pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023.

Tindakan bekas pengendali Itali dan Manchester City itu seakan tidak mahu mendedahkan corak permainan Arab Saudi lebih awal kepada Harimau Malaya.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak menolak kemungkinan bahawa pasukan lain di Piala Asia lebih berwaspada untuk berdepan Malaysia berdasarkan persembahan semasa anak buah Pan Gon.

Malah, bekas pengendali skuad Harimau Muda itu menyifatkan Harimau Malaya terlepas peluang untuk melakukan ujian terbaik berdepan pasukan ranking tinggi susulan pembatalan aksi dengan Arab Saudi.

“Kalau tengok perjalanan Harimau Malaya di Piala Asia, mungkin dia (Mancini) jangka Harimau Malaya akan berdepan mereka. Itu salah satu sebab dia nak elak (batalkan aksi persahabatan).

“Sejak kebelakangan ini, kita tengok Harimau Malaya dalam rentak terbaik dengan merekodkan kemenangan demi kemenangan selain mempamerkan persembahan yang meyakinkan.

“Sekurang-kurangnya orang pandang, hati-hati dengan pasukan ini (Harimau Malaya). Oleh kerana Harimau Malaya nampak ada peningkatan dan sebagainya, mungkin mereka (pasukan lain) ambil perhatian juga,” katanya kepada BH Sukan.

Meskipun hasrat untuk menguji taring berdepan Arab Saudi yang berada di ranking ke-56 dunia tidak kesampaian, Harimau Malaya bakal berdepan satu lagi pasukan ‘Pak Arab’, Syria sebelum ke Piala Asia.

Ia selepas Persatuan Bolasepak Syria mengesahkan pasukan kebangsaan mereka akan mengharungi dua aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan dan Malaysia pada 5 dan 8 Januari depan.

Ditanya mengenai pertemuan dengan Syria, Azraai menjelaskan pasukan yang berada di ranking 91 dunia itu memiliki corak permainan lebih kurang dengan Arab Saudi.

“Kalau kita tengok corak permainan pasukan dari Arab lebih kurang sama. Sekurang-kurangnya lawan Syria pun boleh juga dijadikan sebagai aksi pemanas badan.

“Paling penting Harimau Malaya nak cuba kombinasi dan memantapkan lagi persefahaman pemain. Sudah tentu ia juga bagus buat pasukan negara sebelum berdepan Bahrain dan Jordan (di Piala Asia),” katanya.

sumber:- BH

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E bagi Piala Asia 2023 di Qatar akan memulakan aksi menentang Jordan pada 16 Januari depan sebelum berdepan Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).