sukan

Peguam dedah punca Kipre tamat kontrak secara mengejut

Penyerang import Kuala Lumpur (KL) City, Kipre Tchetche menamatkan kontrak lebih awal dengan skuad City Boys selepas didakwa tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Perkembangan itu dimaklumkan peguam mewakili Tchetche, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid yang mengesahkan pemain berusia 35 tahun dari Ivory Coast itu mengemukakan surat penamatan kontrak pada 6 Disember lalu.

Syed Nur Aiman menjelaskan pihaknya memberikan tempoh sehingga Isnin ini kepada KL City untuk menyelesaikan tunggakan gaji Tchetche dan sekiranya gagal, pihaknya akan membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kita sudah menghantar surat ‘termination’ kepada KL City bagi menamatkan kontrak lebih awal di mana kontrak Tchetche sepatutnya berakhir hujung Disember ini. Kita hantar surat itu pada 6 Disember lalu.

“Memandangkan Tchetche adalah pemain import, maka kita terpaksa mengheret perkara ini ke FIFA bagi menuntut semua itu jika KL City gagal melunaskan pembayaran.

“Saya dimaklumkan oleh Tchetche sememangnya ada tawaran penyelesaian secara berperingkat, tetapi Tchetche menolaknya kerana sering kali dijanjikan pembayaran sebelum ini namun gagal dilaksanakan oleh KL City,” katanya.

Tchetche membuat penampilan di Liga Malaysia (Liga M) bersama Terengganu pada 2017 hingga 2019 sebelum menyertai Kedah pada 2020 hingga 2021. Dia kemudian kembali menyarung jersi Terengganu pada musim lalu dan berhijrah ke KL City musim ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard ketika dihubungi pula memaklumkan Tchetche mencapai persetujuan menamatkan kontrak kerana ayahnya sakit dan perlu menyelesaikan urusan terbabit.

sumber:- BH

“Kipre mencapai persetujuan awal untuk menamatkan kontrak kerana ayah beliau sakit dan beliau memerlukan masa untuk menyelesaikan urusan di rumah. Kesepakatan sudah dicapai untuk mengakhiri kontrak lebih awal,” katanya.