sukan

Komen Steinbruckner nasib TFC walaupun kebal di Asia

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui pasukannya tidak bernasib baik untuk menamatkan saingan peringkat Kumpulan G Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) di tangga teratas.

Menurutnya, biarpun pasukannya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah berbanding juara kumpulan dari Australia, Central Coast Mariners, keputusan tiga kali seri yang dilakarkan pasukannya memusnahkan hajat untuk menjuarai kumpulan.

“Tahniah buat pemain selepas berjaya merakam kemenangan 2-0 berdepan kelab Indonesia, Bali United pada malam ini (malam tadi), mereka layak untuk mengutip tiga mata berdasarkan prestasi yang diperagakan.

“Malah tiga kemenangan dan tiga seri menerusi enam perlawanan keseluruhan membuktikan skuad TFC mampu bersaing di pentas Asia itu lebih-lebih lagi berjaya menumpaskan juara Liga Australia musim lalu, 1-0 pada aksi pertama di tempat sendiri dan terikat 1-1 pada aksi kedua di tempat lawan.

“Namun malang buat TFC selepas terpaksa berpuas hati di tempat kedua kumpulan, tiga keputusan seri ketika berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC, Bali United dan kelab Australia itu ternyata merugikan pasukan untuk mengutip mata penuh.

“Apapun boleh saya rumuskan keseluruhan kami begitu berpuas hati, pemain sudah berusaha untuk layak ke separuh akhir hingga ke perlawanan terakhir kumpulan, namun nasib tidak menyebelahi kami, saya mohon maaf kepada pihak pengurusan dan peminat setia TFC,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pemain sayap kelahiran Haiti, Sony Norde meledak gol pembukaan pada babak pertama sebelum pertahanan kelahiran Uzbekistan, Sardor Kulmatov menamatkan perjuangan Bali United apabila berjaya menjaringkan gol kedua pasukannya pada penghujung babak kedua.

sumber:- BH

Finalis Piala Malaysia musim ini itu menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua dengan mengumpul 12 mata di belakang pendahulu, Central Coast Mariners yang berkelebihan satu mata manakala Bali United ketiga dengan tujuh mata dan Stallion Laguna di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata.