sukan

Soalan TMJ buat FAM dan MFL

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap semua pasukan akan dapat menaik taraf atau memperbaiki padang di stadium masing-masing menjelang musim baharu Liga Malaysia (Liga M) yang dijangka bermula pada April 2024.

Saranan Tunku Ismail itu bagi memastikan kerancakan Liga M tidak terganggu terutamanya apabila perjalanan saingan domestik memasuki musim tengkujuh, atau lebih tepat pada setiap hujung tahun November dan Disember.

Ini kerana baginya, jika sistem saliran padang tidak dibaiki kemungkinan aksi Liga M akan berlangsung dalam keadaan padang bertakung dan becak ekoran kekerapan hujan yang turun di musim tengkujuh itu.

Katanya, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) harus memikirkan cara untuk menyelesaikan isu itu atau terpaksa membiarkan pasukan bertanding atas padang umpama ‘sawah padi’.

“Tiada lecak, tiada takungan air (keadaan padang di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT). Top drainage!.”Soalan saya kepada MFL & FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) memandangkan liga akan berjalan ketika musim hujan/Monsoon bermula musim hadapan. Adakah kami akan bermain atas sawah padi di stadium-stadium lain?

“Inilah sebab pentingnya mempunyai padang permainan dan sistem perparitan yang bagus.

“Sudah sampai masa semua pasukan dan negeri memperbaiki padang stadium masing masing,” tulisnya pada hantaran yang dimuat naik di laman sosial peribadinya.

Pada musim depan, saingan Liga M bakal bermula dari pertengahan musim seperti mana yang diamalkan oleh liga-liga Eropah dan Asia.

sumber:_ HM

Ini bermakna saingan domestik akan mengikut kalendar liga antarabangsa berbanding amalan sebelum ini dari awal tahun hingga hujung tahun.