sukan

Terengganu FC mampu mara dengan syarat

Adakah Terengganu FC (TFC) akan berdepan kekecewaan kedua berturut-turut dalam tempoh tidak sampai seminggu?.Jumaat lalu, skuad Penyu gagal menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang Piala Malaysia apabila tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas lima hari berdepan detik mengecewakan itu, anak buah Tomislav Steinbruckner kini menghitung nasib mereka dalam saingan Piala AFC menjelang aksi terakhir Kumpulan G, esok.

Berdasarkan situasi semasa, TFC boleh dikatakan memiliki peluang tipis untuk mengikut jejak langkah satu lagi wakil negara, Sabah ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.

Ia kerana mereka perlu mengharapkan pendahulu kumpulan, Central Coast Mariners FC seri atau tewas berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Bolasepak Binan, petang esok.

TFC hanya ketinggalan satu mata di belakang Central Coast Mariners dengan mengumpul sembilan mata hasil daripada dua kemenangan dan tiga kali seri.

Seandainya Central Coast Mariners gagal meraih kemenangan, TFC perlu menewaskan kelab Indonesia, Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok untuk bergelar juara kumpulan dan meraih tiket ke separuh akhir Zon ASEAN.

Bagaimanapun, kelab Australia itu dilihat mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan berdasarkan prestasi buruk Stallion Laguna yang tidak memenangi sebarang perlawanan dan hanya mengutip satu mata untuk berada di kedudukan tercorot kumpulan.

Jika perkara itu berlaku, TFC perlu bersaing untuk ke separuh akhir Zon ASEAN menerusi slot naib juara kumpulan terbaik yang mana berdasarkan format pertandingan, hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN.

Namun, situasi itu juga tampak amat sukar buat TFC kerana Phnom Penh Crown kini berada di kedudukan teratas dalam kalangan pasukan tangga kedua terbaik kumpulan dengan menghimpun 12 mata.

Malah, kelab Kemboja itu memiliki kelebihan besar dari segi jumlah perbezaan jaringan selain mereka dijangka tiada masalah untuk menewaskan Shan United pada aksi terakhir peringkat Kumpulan F.

sumber:- BH

Mengambil kira segala situasi sukar yang terpaksa dihadapi TFC ketika ini, skuad Penyu boleh dianggap memerlukan keajaiban atau tuah untuk melangkah ke separuh akhir Zon ASEAN.