sukan

Bali United datang dengan momentum terbaik kalahkan TFC

Ketua jurulatih Bali United, Stefano Cugurra mengakui prestasi terbaik pasukannya dalam Liga Indonesia menjadi tonik terbaik menjelang pertemuan dengan finalis Piala Malaysia musim ini, Terengganu FC (TFC), malam esok.

Jelas pengendali kelahiran Brazil itu, pengalaman mengendali pasukan Liga Malaysia (Liga M), Kuala Muda Naza pada 2009 bakal dimanfaatkan sebaik mungkin dalam misi mengutip mata penuh pada aksi terakhir Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

“Saya gembira di sini dan pernah bekerja di sini (Malaysia) membimbing pasukan Kuala Muda Naza, 14 tahun lalu, lagipun pasukan kami berada pada tahap prestasi terbaik ketika ini dengan menduduki tempat kedua liga.

“Jadi kami sudah bersedia berdepan kelab dari Terengganu itu biarpun ada sedikit kekangan masa menghimpit kami kerana perlu bersedia dalam saingan liga.

“Kami percaya perlawanan ini banyak membantu kami, tapi pada masa sama saya fikirkan bukan mudah untuk mengutip tiga mata, lebih-lebih lagi skuad Terengganu begitu kebal setakat ini dengan mengekalkan rekod tanpa kalah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sementara itu, kapten skuad The Tridatu Warriors itu, Ilija Spasojevic, tekad mahu mengutip tiga mata biarpun sedar skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu sukar untuk ditewaskan.

Bekas pemain Melaka United FC (MUFC) itu berkata, hanya kemenangan mampu melonjakkan pasukannya di tangga kedua kumpulan selepas ketinggalan dua mata dengan TFC.

“Kami bermain baik menentang kelab Filipina sebelum ini, dengan TFC kami terikat 1-1.

“Saya jangka esok perlawanan sukar, TFC adalah pasukan hebat dan berpeluang layak, kami percaya mereka akan bagi sepenuhnya.

sumber:- HM

“Apapun jurulatih sudah merangka strategi terbaik dalam misi mengutip tiga mata,” katanya.