sukan

Reaksi padu Arif Aiman ditanya impian beraksi di luar negara

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua musim berturut-turut, Arif Aiman Hanapi tekad merobek gawang BG Pathum United sekali lagi apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Arif Aiman yang meledak dua gol ketika JDT menewaskan kelab Thailand itu 4-2 pada aksi peringkat pertama kumpulan 3 Oktober lalu mengakui aksi menentang kelab dari Thailand itu tetap sukar dan mencabar.

Tambah Arif, walaupun sedar peluang JDT untuk ke saingan pusingan 16 pasukan terbaik sudah tertutup namun dia akan berusaha memastikan skuad Harimau Selatan menutup saingan ACL dengan kemenangan.

“Saya percaya perlawanan esok mencabar kerana mereka sudah tahu cara dan selok-belok permainan saya. Malah, mereka pasti akan mengawal rapi saya tetapi saya akan tampil agresif untuk membantu kemenangan JDT,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada dia memasang impian untuk beraksi di luar negara selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam pentas saingan kelab elit Asia, Arif Aiman menegaskan masih belum tiba masanya untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa.

“Saya lebih mengutamakan untuk meningkatkan lagi corak permainan berbanding memikirkan beraksi di luar negara kerana sebagai pemain tempatan peluang beraksi di saingan ACL adalah pentas terbaik untuk memperkemaskan lagi mutu dan kualiti permainan.

sumber:- BH

“Jika kita bagus di pentas ACL maka kita mampu menyamai kualiti pemain-pemain yang beraksi di pentas ACL kerana tiada guna bermain di kancah Asia tapi kualiti yang kita persembahkan begitu rendah dan tidak mencapai piawaian,” kata Arif.