sukan

Demi Maruah JDT — Solari

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tetap serius membuat persiapan bagi menghadapi kelab dari Thailand, BG Pathum United FC pada aksi terakhir saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Walaupun aksi berkenaan tidak memberi sebarang erti kepada kedua-dua pasukan yang sudah tersingkir daripada pusingan 16 terbaik, Solari menegaskan perlawanan itu tetap penting untuk menjaga maruah selain membuktikan kemenangan 4-2 ke atas kelab dari Thailand itu pada aksi 3 Oktober lalu bukan nasib semata-mata.

Katanya, JDT tetap bersikap berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong yang pasti mahu menebus kekalahan itu, apatah lagi mereka bukanlah calang-calang pasukan apabila berada di kedudukan kedua Liga 1 Thailand (Liga 1 Thai).

“Pasukan itu dibarisi pemain berkualiti, malah sepanjang 12 perlawanan liga di Thailand, mereka hanya tewas satu perlawanan dan untuk berdepan mereka kali kedua sudah tentu mencabar kerana setiap aksi ACL memang menyukarkan.

“Tapi agak malang apabila saya terpaksa melupakan dua tonggak utama iaitu Corbin Ong dan Shane Lowry yang perlu disisihkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi final Piala Malaysia, baru-baru ini dan semuanya akibat padang yang teruk di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Kelibat Shio Hong Wan pula terpaksa dilupakan selepas dia digantung satu perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning dan sudah tentu akan ada rombakan kecil malah saya sudah kenal pasti siapa yang bakal turun mengisi kekosongan Shane, Corbin dan Hong Wan,” katanya.

Sementara itu, Jaturapattarapong berkata, pasukannya berharap dapat mengutip mata daripada aksi terakhir ini selepas gagal berbuat demikian apabila tewas kesemua perlawanan.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan mudah kerana sedar keupayaan JDT selaku pasukan yang hebat dan dibarisi pemain berkualiti seperti Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman Hanapi.

“Ketiga-tiga pemain ini kita akan memberi tumpuan penuh tatkala mereka mempunyai sentuhan penyudah yang tajam.

sumber:- BH

“Kita tahu kemampuan Heberty yang pernah beraksi di Liga Thailand manakala Bergson adalah penjaring terbanyak pasukan, Arif Aiman kita lihat dia sebagai pemain bintang yang menjana jentera serangan JDT,” katanya.