sukan

Selepas lama berdiam diri, Akhirnya buka mulut

Selepas berdiam diri kerana geram dengan mutu pengadilan tidak profesional aksi final Piala Malaysia membabitkan pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lalu, akhirnya penyokong TFC tampil ‘membuka mulut’.

Pengerusi Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFC), Mazuki Muhamad menyifatkan pengadil perlawanan itu, S Logeswaran tidak layak mengadili perlawanan penting dan paling berprestij dalam negara itu yang disaksikan seluruh peminat dunia termasuk pemain dan pengadil dunia.

Jelas Mazuki, beberapa keputusan yang tidak tepat dibuat pengadil dari Selangor itu yang dilihat seolah-olah ‘tidur’ bukan sahaja merugikan skuad Penyu, tetapi turut memalukan bola sepak negara di mata dunia.

Jelasnya, pengadil itu bukan hanya tidak layak mengadili perlawanan final itu yang dihadiri lebih 80,000 peminat kedua-dua pasukan, malah pengadil itu juga tidak layak mengadili perlawanan bertaraf kampung kerana jelas boleh ‘meragut’ kerancakan sesuatu perlawanan.

“Berkenaan mutu pengadilan ia bukannya isu yang baharu sebaliknya sudah lama berlarutan lebih-lebih lagi perlawanan akhir Piala Malaysia pada Jumaat lalu yang juga perlawanan paling berprestij dalam negara yang disaksikan peminat di seluruh dunia.

“Jika diamati dan dianalisis, beberapa keputusan pengadil itu (Logeswaran) jelas tidak tepat sekali gus menyaksikan dia tiada kredibiliti sebagai seorang pengadil profesional untuk mengadili perlawanan berprestij itu.

“Berikutan keputusan tidak tepat diputuskan pengadil itu menyaksikan perlawanan yang berkualiti tinggi dipamerkan pemain TFC bagaikan ‘diragut’ dek keputusan berat sebelah yang jelas memihak kepada JDT.

“Kita lihat beberapa keputusan pengadil yang jelas tidak masuk akal seperti sepakan penalti pada minit keenam diberikan kepada JDT biarpun tanpa kekasaran serta keputusan awal tidak memberikan sepakan penalti kepada TFC pada minit ke-21.

“Selain itu kad merah tidak dilayangkan kepada kapten JDT, Jordi Amat yang jelas mengasari penyerang TFC, Ivan Mamut dalam kotak penalti dan hanya diberikan kad kuning serta beberapa kekasaran keras yang dilakukan pemain JDT hanya diperhatikan sahaja pengadil Selangor itu tanpa sebarang kad.

“Menang kalah adalah adat perlawanan, tapi pengadil pada malam itu boleh dikatakan ‘membunuh’ semangat tinggi dipamerkan pemain TFC, ia juga boleh memalukan bola sepak negara di mata dunia, persoalannya kenapa terjadi demikian? Adakah pengadil tidak memikirkan kami para penyokong yang datang dari jauh dengan kos tinggi untuk menyaksikan perlawanan berkualiti tapi ‘diragut’ pengadil yang tidak bertauliah? katanya.

Katanya, berikutan keputusan pengadil yang bias itu selain dilihat seolah-olah mahu menjaga periuk nasinya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu mengenakan tindakan tegas sebagai pengajaran kepadanya.

sumber:- HM

“Tindakan tegas termasuk denda, ‘turun pangkat’ serta gantung adalah tindakan yang boleh diberikan kepada pengadil itu sebagai pengajaran kepadanya dan pengadil yang lain,” katanya.