Tiada istilah pengadil ‘tangkap muat’ untuk aksi final Piala Malaysia 2023 memandangkan pengadil sudah tentu dipilih berdasarkan kriteria dan prestasi mereka sepanjang musim ini.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh beranggapan pengadil yang dipilih sudah pasti melepasi kriteria ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Justeru, bekas pengadil FIFA itu mengharapkan semua pihak menghormati keputusan FAM yang memilih S Logeswaran bagi mengadili final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC), Jumaat lalu.
“Dua finalis Piala Malaysia mara ke final selepas memenangi semua peringkat yang dihadapi mereka. Begitu juga dengan pengadil. Mereka dipilih berdasarkan kualiti dan dinilai sepanjang peringkat perlawanan.
“Kita perlu hormat sebab pemilihan dibuat berdasarkan banyak kriteria yang mereka ada. Kriteria pengadil itu dari awal musim ini, tentu dia berjaya mencapai standard yang mana membenarkan mereka (FAM) melantik dia sebagai pengadil perlawanan akhir,” katanya.
Mengulas lanjut isu Logeswaran yang dikatakan tidak disenaraikan dalam senarai pengadil FIFA, Subkhiddin melihat ia berkemungkinan kerana atas faktor usia ketika Logeswaran mula menjadi pengadil.
“Tiada had usia untuk pengadil FIFA tetapi secara realistiknya, kudrat pengadil yang berusia 45 tahun ke atas tidak sama seperti pengadil yang masih muda.
“(Logeswaran) mungkin 30-an dan proses (jadi pengadil FIFA) amat panjang selain kita perlu melihat prospek untuk bertugas di Piala Dunia yang berlangsung hanya empat tahun sekali.
“Pengadil muda mungkin ada peluang. Sekiranya usia Logeswaran menjadi penghalang, mungkin tidak perlu dia bekerja untuk memenuhi kuota Piala Dunia yang hanya berlangsung empat tahun sekali itu.
“Lencana FIFA adalah untuk aksi antarabangsa di mana mereka boleh dipertimbangkan untuk bertugas di Piala Dunia tetapi kalau untuk aksi domestik, ia tidak perlu,” katanya.
Terdahulu, Logeswaran dikatakan bukan pengadil dalam kalangan pengadil FIFA kerana berdasarkan semakan mengikut Senarai Pengadil Antarabangsa FIFA 2023 di laman sesawang digitalhub.fifa.com, namanya tidak berada dalam senarai terbabit.
sumber:- BH
Senarai nama terbabit hanya meletakkan enam pengadil FIFA dari Malaysia iaitu Razlan Joffri Ali, Muhammad Usaid Jamal dan Muhammad Nazmi Nasaruddin, Suhaizi Shukri, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dan Mohd Amirul Izwan Yaacob.