sukan

Lin Dan akui berasa kerdil

Lin Dan yang diangkat sebagai pemain badminton yang hebat sepanjang zaman dalam sebuah video berkongsi kisahnya baru-baru ini mengenai suasana dalam Anugerah Sukan Dunia Laureus (LWSA) tahun lalu sambil mendedahkan menyedari tiada siapa yang mengenalinya atau mengenali sukan itu.

Bintang dari China itu menghadiri majlis anugerah tahunan itu yang memberi penghormatan kepada individu dan pasukan atas pencapaian mereka dalam sukan sepanjang 2013 sebagai duta di Rio de Janeiro, Brazil.

Pada masa itu, Lin Dan sudah pun melengkapkan pencapaian ‘Super Grand Slam’ dengan melengkapkan semua gelaran utama termasuk Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Piala Dunia, Piala Thomas, Piala Sudirman, Siri Super, Seluruh England, Sukan Asia dan Kejohanan Asia.

Setibanya di majlis itu dengan berpakaian bersut hitam, bekas atlet berusia 40 tahun itu terkejut apabila mengetahui dia tidak dikenali dalam kalangan yang lain.

“Ini kali pertama saya menghadiri LWSA yang bukan mewakili diri saya tetapi badminton. Pesertanya adalah terdiri daripada atlet terkemuka dari seluruh pelusuk dunia.

“Apabila saya berada di sana, perkara pertama yang saya rasa ialah saya hebat dalam acara sendiri tetapi saya berasa kerdil di hadapan atlet sukan lain. Bukan disebabkan kurang berkeyakinan, sebaliknya kerana tidak ramai yang tahu tentang badminton.
“Sejujurnya badminton kini berada di kedudukan yang memalukan. Ia terkenal di negara Asia dan sebahagian kecil negara Eropah. Apabila saya mewakili badminton, media tidak tahu siapa saya malah tentang sukan itu.

“Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk mempromosikan badminton. Saya juga berharap badan dunia dapat melakukan yang lebih baik. Ini bukan untuk menyalahkan sesiapa atau menuding jari. Saya hanya berharap sukan ini mampu mencipta satu kejayaan. Saya berharap suatu hari nanti akan ada calon LWSA dalam badminton mahupun ping pong.

“Tidak kira lelaki atau perempuan. Ketika inilah badminton boleh bersaing dengan sukan lain,” katanya.
Badminton tidak pernah memenangi anugerah LWSA yang telah didominasi oleh bintang sukan yang lebih popular seperti Tiger Woods, Roger Federer, Usain Bolt dan Lionel Messi.

sumber:- SA

Pemain Jepun, Kento Momota, bagaimanapun, pernah dicalonkan dalam edisi 2021 di bawah kategori ‘World Comeback Of The Year’ selepas membuat kemunculan semula selepas pulih daripada kemalangan kereta yang serius di Kuala Lumpur, setahun sebelumnya.