sukan

Komen Solari aksi di padang yang teruk

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan memikirkan mengenai keadaan padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang aksi final Piala Malaysia berdepan Terengganu FC (TFC), malam esok.

Sebaliknya, pengendali JDT, Esteban Solari menegaskan bahawa memberikan aksi terbaik dan memenangi perlawanan itu menjadi perkara paling utama buat Harimau Selatan.

Jurulatih dari Argentina itu berkata, apa yang sentiasa menjadi perkara positif dalam skuad JDT adalah mereka mempunyai motivasi terbaik kerana semua pemainnya ada mentaliti untuk memenangi gelaran juara.

“Pasukan saya melakukan persiapan untuk bermain di mana-mana padang. Esok akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami bersedia walaupun dengan keadaan padang ketika ini.

“Kami melihatnya dari sudut positif yang mana tahun lalu rumput cowgrass dan sekarang rumput yang lebih baik, malangnya ketika ini bukan saat yang terbaik buat padang itu.

“Ia bukan tumpuan kami (terhadap padang), sekarang fokus kami kepada perlawanan dan bermain bola sepak terbaik kami untuk memenangi perlawanan,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.

Padang Stadium Nasional yang baru selesai dinaiktaraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia tajaan Tunku Mahkota Johor(TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi isu hangat sebelum final Piala Malaysia apabila ia mengalami kerosakan dan belum sempurna sepenuhnya.

JDT bakal mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi empat piala (Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia) semusim buat kali kedua berturut-turut sekiranya berjaya mengalahkan TFC.

Malah, seandainya menjulang trofi Piala Malaysia esok, Harimau Selatan juga akan menyamai rekod Kedah yang memenangi ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.

Mengulas mengenai perkara itu, Solari menjelaskan ia menjadi antara impian skuad Harimau Selatan untuk membanggakan pengurusan kelab yang dipimpin TMJ dan penyokong mereka.

“Saya tak cipta sejarah, TMJ yang cipta sejarah buat JDT. Saya hanya berusaha untuk pastikan pasukan beraksi dengan lebih baik dan itu tanggungjawab saya.

“Saya gembira berada di final Piala Malaysia dan ini peluang terbaik untuk kami. Malah, ini juga final pertama saya di Stadium Nasional,” katanya.

Selain itu, Solari turut menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa JDT akan berdepan tugas mudah untuk memenangi perlawanan berdepan TFC.

Dia menegaskan bahawa tidak pernah ada kemenangan mudah buat JDT dan apa yang mereka capai adalah hasil usaha semua orang dalam kelab itu.

sumber:- BH

“Perlawanan esok adalah cabaran besar bagi kami. Prestasi pasukan Terengganu semakin meningkat dan mereka juga memiliki ramai pemain berkualiti, bukan hanya mengharapkan pemain tertentu,” katanya.