sukan

Kenapa mustahil untuk tukar venue

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalinggam merujuk kondisi padang yang tidak meyakinkan menjelang tiga hari sebelum final di antara Terengganu FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sebaik keadaan padang didedahkan semalam, timbul pelbagai reaksi yang mula meragui samada padang Stadium Nasional Bukit Jalil mampu segera pulih atau sebaliknya.

Timbul beberapa saranan agar venue perlawanan ditukar, samada beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor Bharu atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.

Hakikat yang perlu ditelan, perubahan venue perlawanan adalah mustahil untuk berlaku dengan aksi final yang akan berlangsung kurang tiga hari dari sekarang.

“Tumpuan kami adalah untuk aksi final ini. Kami berharap segalanya berjalan dengan lancar,” kata Stuart menerusi Nadi Arena.
“Banyak persiapan yang dilakukan bagi menjayakan aksi final ini. Kami kekal fokus untuk memastikan venue final di SNBJ.”

Sebagai penganjur perlawanan sudah pasti ia perkembangan yang merisaukan memndangkan isu padang sering menjadi perhatian sebaik ia ditukar kepada rumput zeon zoysia sejak Ogos lalu.

Sementara itu, difahamkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan pengurusan MFL melakukan tinjauan ke atas padang SNBJ.
Namun media tidak dibenarkan untuk membuat liputan.

Apa yang pasti pihak pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kini giat mempersiapkan padang SNBJ untuk aksi final Piala Malaysia Jumaat ini.

Kerja penyelenggaraan serta baik pulih padang juga sedang dijalankan dan diharapkan ianya sempat untuk menerima kehadiran Harimau Selatan dan Sang Penyu untuk final Piala Malaysia edisi ke-102.

Sebelum ini permukaan padang SNBJ jadi bualan hangat peminat sukan tempatan apabila disifatkan tidak berada dalam kualiti terbaik terutamanya ketika Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 Oktober lalu.

sumber:- SA

Ini ditambah pula selepas SNBJ menjadi venue untuk konsert kumpulan ternama antarabangsa yang dibanjiri hampir 75,000 penonton.