sukan

Pemain Sabah dah penat

Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengakui pemainya bergelut dengan masalah kepenatan dan keadaan padang lembab hingga gagal mempamerkan persembahan lebih baik ketika berdepan Perak dalam aksi Liga Super, semalam.

Kim Swee bagaimanapun berbangga apabila barisan pemainnya tetap berjaya meraih kemenangan 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, pemain akan diberikan rehat yang cukup sebelum skuad Badak akan berdepan kelab Indonesia, PSM Makssar dalam aksi terakhir Kumpulan H saingan Piala AFC, 14 Disember ini.

“Keadaan padang lembab menyukarkan corak permainan kami dan yang kedua, pemain kepenatan selepas mengharungi tiga perlawanan sebelum ini. Bukan sahaja bermain di tempat lawan, tetapi jarak perjalanan yang begitu jauh.

“Namun, pemain menunjukan sikap sangat positif dan semangat juang tinggi dengan cuba mendapatkan gol walaupun minit akhir hingga mereka berjaya dapatkan jaringan yang kami kehendaki. Ia penting untuk kami mengharungi perlawanan terakhir.

“Apa yang penting sekarang pemain harus berehat sepenuhnya. Kami keluar dari Kota Kinabalu selama dua minggu yang mana ia pasti menyukarkan setiap pemain yang meninggalkan isteri, anak dan keluarga, termasuk pemain kebangsaan yang balik dari Taiwan terus bersama Sabah.

“Ia memerlukan mentaliti yang positif dan hari ini, mereka menunjukkan bahawa mereka boleh melalui proses itu. Syabas kepada semua pemain,” katanya.

Sabah kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengumpul 51 mata dan berpeluang menamatkan saingan di tangga ketiga sekiranya berjaya mengatasi Kedah Darul Aman (53 mata) dalam aksi terakhir di Stadium Likas, 17 Disember ini.

Perak yang merekodkan enam kemenangan, empat kali seri dan tewas 15 kali berada di tangga ke-11 dengan menghimpun 22 mata.

Sementara itu, pengendali Perak, Yusri Che Lah menyifatkan pasukannya dihukum dengan hanya sedikit kelekaan pada minit akhir perlawanan.

“Pemain beraksi dengan disiplin tinggi, cuma mungkin di akhir perlawanan sedikit hilang fokus yang membezakan pemenang dalam perlawanan itu.

“Kalau kita lihat banyak juga peluang kami cipta dan hampir menjaringkan gol. Kami berdepan salah satu pasukan kuat dan saya akur dengan kekuatan lawan,” katanya.